
Jualan Rahmah Beras tawar beras import cuma RM14 sekampit
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan harga beras import yang lebih murah berbanding harga pasaran dalam Jualan Rahmah Beras yang akan dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen seluruh negara.
Timbalannya, Fuziah Salleh berkata, berikutan akses kepada beras putih tempatan yang terganggu ketika ini, KPDN memutuskan subsidi diberi ke atas beras import, dengan harga jualannya pada sekitar RM13 hingga RM14 bagi setiap kampit lima kilogram.
“Diskaun subsidi ini, kita akan pastikan ia tidak lebih daripada yang kita mampu berikan. Contohnya kalau dalam Jualan Rahmah bergerak, beras tempatan lima kilogram dijual pada RM13 hingga RM14, jadi kita akan sedaya upaya untuk jual pada harga sekitar itu (untuk beras import).
“Maknanya, kalau RM13 itu untuk harga beras tempatan, tapi yang Jualan Rahmah Beras ini kita jual beras import,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Today’s Malaysia E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework : The Way Forward hari ini.
Tambahnya, program tersebut juga bakal dilaksanakan mengikut Parlimen supaya capaiannya dapat diperluas kepada golongan yang memerlukan.
“Sebelum ini, ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang datang berjumpa saya dan menyatakan hasrat ingin menggunakan peruntukan mereka dan menambah subsidi yang ditawarkan dalam bentuk beras supaya ia boleh dinikmati oleh pengundi di kawasan mereka.
“KPDN juga bakal menggunakan peruntukan sedia ada sebanyak RM150 juta untuk Jualan Rahmah sebelum ini bagi menjayakan program ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kenaikan harga barang keperluan lain terutamanya sayur-sayuran di pasaran, Fuziah berkata, pihaknya sentiasa memantau harga barang-barang ini melalui pegawai pemantauan harga yang berada di seluruh negara
“Ada banyak faktor yang menjadi penentu harga, contohnya cuaca serta permintaan dan penawaran barang tertentu. Jadi, (kenaikan ini) merupakan sesuatu yang biasa berlaku terutamanya dalam pasaran terbuka.
“Menurut data yang kami ada, sekiranya harga tidak melebihi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, kenaikan harga merupakan sesuatu yang biasa dan masih lagi terkawal,” katanya.
Tambahnya, data pihak KPDN tidak menunjukkan sebarang kenaikan harga sayuran yang drastik di seluruh negara.
BACA JUGA Pas jaja fitnah burukkan DAP alih isu tanah di Kelantan