Jualan Rahmah seiring matlamat Jelajah Ehsan, bantu ringan beban rakyat

Program Jualan Rahmah dan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang merupakan inisiatif kerajaan Pusat dan Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) mampu memberikan kesan terhadap penjimatan kos rakyat dalam membeli barangan keperluan asas terutamanya makanan.

Program-program itu telah dapat mengurangkan beban rakyat di Selangor untuk menjalani kehidupan seharian.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri mampu untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat Selangor untuk meneruskan kehidupan yang sempurna.

“Menerusi Jualan Rahmah dan Jelajah Ehsan Rakyat pasti dapat tampung kos sara hidup rakyat kerana satu pertiga daripada pendapatan kebiasaannya dibelanjakan untuk makanan.

“Jadi kalau rakyat dapat mengurangkan kos pembelian makanan, duit lebihan sewajarnya boleh digunakan untuk membiayai kos utiliti, pendidikan, sewa, pinjaman dan sebagainya,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.

Menurutnya, sekiranya penjimatan itu dapat dilakukan oleh pengguna, kerajaan berharap rakyat dapat menyisihkan penjimatan yang dibuat untuk kegunaan kecemasan dan simpanan.

Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Kandis di tapak parkir Surau Islamiah, Taman Bukit Jati, Klang pada Selasa lalu mendapatkan sambutan lebih 500 penduduk. Foto Persatuan Penduduk Taman Bukit Jati Klang

Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis turut menekankan kepentingan orang ramai untuk menguruskan hal kewangan peribadi mereka dengan cara yang lebih baik.

“Kalau rakyat dapat mengurus dan menyusun kewangan mereka, saya percaya kehidupan mereka akan menjadi bertambah baik.

“Malah anak-anak juga akan mendapat santunan atau nafkah daripada ketua keluarga dengan lebih cukup,” ujarnya.

Pada 3 Februari lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 yang berlangsung ketika ini bakal diselaras bersama Jualan Rahmah bagi meringankan beban belanja lebih ramai penduduk.

Amirudin berkata menerusi perancangan itu, lokasi jualan murah barangan keperluan akan bertambah sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan keperluan.

Program Jualan Rahmah digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan menawarkan barang keperluan pada harga lebih murah.

Sementara itu, JER merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selama tiga bulan bermula 16 Januari bagi meringankan beban belanja penduduk.

BACA JUGA: Selangor tekad rapatkan jurang kemiskinan, elak individu berlagak ‘Robin Hood’