Jualan Ramadan Madani Negeri Sembilan melegakan masyarakat

Meskipun kerajaan kini dalam usaha membantu rakyat mengatasi kos sara hidup, inisiatif Jualan Ramadan Madani dilihat dapat memberi kelegaan kepada masyarakat terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Exco Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan, Datuk Ir Bakri Sawir berkata penganjuran program tersebut memudahkan orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan di samping menawarkan harga yang berpatutan.

“Inisiatif ini mampu memberikan harga yang lebih murah daripada pasaran serta membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan hasil pertanian mereka.

“Dalam program ini, kami juga menyasarkan sebanyak RM170,000 nilai jualan di empat lokasi terpilih iaitu di Pasar Tani Batu Kikir, Pasar Tani Ampangan, Pasar Tani Keluarga Malaysia (PTKM) Palong, Jempol dan Pasar Tani Batu 4, di Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jualan Ramadan Madani adalah anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyaksikan penglibatan sebanyak 103 lokasi pasar tani di seluruh negara.

Bekalan agromakanan seperti telur ayam, ayam, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan komoditi lain dijual lebih murah berbanding pasaran lain, iaitu antara lima hingga 10 peratus.

Menerusi kenyataan berasingan, Bakri berkata pihaknya telah menyempurnakan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Madani @ Mantai Ramadan Peringkat Negeri Sembilan di Pasar Tani Batu 4, Port Dickson, pagi semalam.

Antara pengisian program itu katanya adalah, edaran dodol serta set sayur lemak kepada pengunjung, jualan sayuran kombo Madani, Jualan Happy hour sayur-sayuran, telur ayam, ayam, daging dan minyak masak.

“Ia dilihat meringankan beban rakyat di negeri ini. Turut diadakan adalah penyampaian sumbangan Bakul Rahmah kepada 20 orang asnaf dari Daerah Port Dickson.

“Diharap, ikhtiar yang dilakukan ini dapat meringankan beban rakyat khususnya di negeri ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, kerajaan Negeri Sembilan juga membuat Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin sebagai inisiatif sendiri, menawarkan harga barangan antara 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Program yang memperuntukkan sebanyak RM5 juta adalah hasil kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Dalam hal yang berkaitan, Negeri Sembilan antara enam buah negeri yang sepakat untuk membubarkan DUN dalam tempoh dua minggu terakhir Jun depan.

Pembincangan ini dibuat, bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pelarasan sebelum menetapkan tarikh bersesuaian untuk PRN.

BACA LAGI: Lepas 100 hari Kerajaan Perpaduan kekal kukuh bagaikan dinding rumah, bukannya rumah kaca