Ka Siong enggan betulkan ucapannya berkaitan isu telur import di Parlimen

Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menegaskan beliau tidak akan menuruti kehendak seorang individu yang didakwa wakil kepada syarikat pengimport telur agar beliau membetulkan ucapannya sebelum ini di Dewan Rakyat.

Beliau berkata pihaknya berpendirian begitu kerana Speaker Dewan Rakyat telah mengeluarkan surat bahawa Ahli Parlimen menikmati perlindungan undang-undang ketika berucap di Dewan Rakyat dan tidak boleh disaman.

Justeru itu, beliau menegaskan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan seperti dikehendaki wakil J&E Tech Sdn Bhd.

“Semalam, jam 9.51 pagi, saya terima panggilan daripada seorang insan yang mendakwa dirinya mewakili J&E Tech Sdn Bhd yang mengatakan beliau telah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk saya buat satu kenyataan dan selesai di luar mahkamah.

“Saya kata, ini apa ini? Saya tak sebut nama syarikat kamu dan nama kamu. Tapi dia kata saya kena buat satu kenyataan untuk perbetulkan apa yang saya cakap di Parlimen.

“Saya cuma jadi jurucakap rakyat, ini masalah bekalan telur. Saya tak ada niat, tak ada apa-apa kepentingan. Saya tak nak tahu siapa dapat sebab itu saya tak sebut nama,” katanya ketika membahaskan peruntukan bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 22 Februari lalu Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan harus menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengeluar telur tempatan dan bukannya mengimport telur dari India, yang menurutnya lebih mahal dan lebih kecil.

Putrajaya beralih kepada pengimportan telur dari India sebagai langkah sementara untuk menangani kekurangan bekalan tempatan.

Pada 13 Mac lalu kementerian dalam kenyataan berkata kerajaan hanya memberikan subsidi telur ayam kepada syarikat pengeluar tempatan manakala kebenaran untuk mengimport telur ayam itu hanya bersifat sementara.

Jelasnya, kebenaran mengimport bahan makanan itu boleh ditamatkan bila-bila masa sebaik sahaja bekalan telur kembali stabil dan pulih.

“Pada 6 Disember lalu, Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing sejak Oktober lalu.

“Maka kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun ini diberikan kepada syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd serta syarikat pengeksport telur di India yang mempunyai kapasiti pembekalan dan juga sedang membekalkan telur ke Qatar ketika Piala Dunia 2022,” memetik kenyataan itu.

BACA JUGA: Tiada subsidi, dana awam diberi kepada syarikat pengimport telur – KPKM