
Kada lancar Pasukan Task Force Pasir Puteh untuk laksana projek mini Sekinchan
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Kelantan telah menubuhkan satu pasukan khas (task force) bagi melaksanakan projek padi yang memberikan hasil yang tinggi.
Pasukan Task Force Pasir Puteh yang dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Kada, Ustaz Muhammad Husin bertujuan untuk melaksanakan Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan bagi membantu meningkatkan lagi hasil tanaman padi mereka.
Ini ekoran kejayaan projek Smart SBB yang diluncurkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 9 Mei lalu di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Perlis, yang membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, saya amat berbangga kerana melalui program ini, pesawah telah berjaya mendapat hasil sehingga 10 tan metrik per hektar,” kata Mohamad dalam majlis menuai hasil projek berkenaan 21 Ogos lalu.
Semalam Muhammad Husin mempengerusikan mesyuarat Task Force Pasir Puteh itu yang diadakan di ibu pejabat Kada.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh wakil dari Sekinchan yang diketuai oleh Mr Allen Lim yang merupakan pelopor dan pengusaha tanaman padi di Sekinchan, Selangor.
Petani di Sekinchan berjaya meningkatkan hasil padi mereka sehingga lebih 10 metrik ton per hektar berbanding dengan sawah-sawah di tempat lain yang menghasilkan antara 3 – 6 metrik ton per hektar sahaja.
Ekoran itu kajian dibuat agar sawah-sawah padi di seluruh negara mengambil pendekatan yang dibuat oleh petani di Sekinchan bagi meningkatkan hasil tuaian padi mereka.
Di Pasir Puteh, Kelantan, Jawatankuasa Khas dibentuk secara rasmi dan dipengerusikan oleh Pengerusi Kada sendiri, bagi memastikan misi besar di Kelantan ini berjaya.
Menurut Muhammad Husin, objektif Jawatankuasa ini dibentuk antaranya ialah:
- Membincangkan kaedah penyelesaian kepada masalah saliran dan pengairan yang sudah bertahun melanda Daerah Pasir Puteh ini .
- Melaksanakan pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang kepada sistem saliran di Jelor yang berkeluasan 1500 hektar.
- Membentuk TOR Term Of Reference kepada projek Tanaman Padi Berskala Besar Ala Sekinchan di Kampung Gong Manok ,Pasir Puteh yang berkeluasan 2130 ekar.
- Membincangkan pelan Penamaan Padi Ala Sekinchan di Kampung Tok Ajam yang berkeluasan 144 hektar.
“Jawatankuasa ini berazam akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan kejayaan projek ini dan menyahut seruan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya Pasir Puteh menjadi salah satu lokasi penting penamaan padi di kelantan yang memberikan hasil yang tinggi,” kata Muhamad Husin.
Beliau berazam agar program ini dapat membantu negara dalam mencukupkan bekalan beras kepada negara.
BACA JUGA Menteri seru pesawah sertai Projek Smart Sawah Berskala Besar