Kadar baru Grab, batu penghalang kepada usaha kerajaan bantu rakyat

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan menyelar pengurangan tambang yang dikuatkuasakan syarikat teknologi penyedia pengangkutan dan penghantaran makanan, Grab ekoran dari pengurangan kadar upah pemandu.

Beliau menuduh Grab sebagai batu penghalang kepada usaha kerajaan membantu rakyat berdepan dengan tekanan ekonomi dalam fasa pasca pandemik Covid-19.

“Tindakan Grab ini sebenarnya penghalang besar kepada usaha Kerajaan Perpaduan untuk membantu rakyat berhadapan dengan tekanan ekonomi yang dihadapi ketika dunia berhadapan dengan fenomena post Covid-19 sekarang.

“Ini kerana, selepas hilang pekerjaan ketika negara dilanda Covid-19, ramai yang beralih menjadi pemandu Grab sebagai sumber pendapatan mereka untuk menyara keluarga,” kata beliau.

Ramai pemandu Grab terkesan ekoran dari penguatkuasaan kadar tambang baru

Beliau juga mahu Menteri Pengangkutan Anthony Loke campur tangan dalam perkara ini supaya nasib pemandu Grab akan terbela.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada perubahan kadar tambang yang diperkenalkan oleh Grab yang dikuatkuasakan sejak 16 Januari.

Kadar tambang pemandu per minit dinaikkan dari 20 sen kepada 43 sen manakala kadar tambang pemandu per kilometer diturunkan dari 70 sen kepada 25 sen.

Sany turut menyatakan bahawa pemandu Grab tidak beroperasi seperti pemandu teksi, sebaliknya mereka beroperasi berdasarkan jarak.

“Pengurangan tambang dari 70 sen kepada hanya 25 sen per kilometer bakal menjejaskan pendapatan pemandu Grab kerana kebanyakan pemandu Grab menghantar penumpang berdasarkan jarak bukan berada dalam kawasan sesak sebagaimana pemandu teksi,” kata Sany dalam satu kenyataan.

Grab memberikan alasan bahawa penukaran kada tambang ini akan menguntungkan pemandu ketika memandu dalam waktu puncak dan kesesakan lalu lintas.

BACA JUGA: Mohamad Sabu kini bergelar Datuk Seri