Kaitan skandal rasuah Adam Radlan dengan Mahiaddin Yassin

Pada 5 Januari 2023, seorang ketua pegawai eksekutif, Adam Radlan Adam Muhammad 42, yang juga timbalan ketua bahagian Bersatu Segambut telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana peranannya sebagai orang tengah dalam mendapatkan projek kerajaan berkaitan pakej kesihatan Covid -19 bernilai RM92.5 billion.

Adam mantan ketua pegawai eksekutif Maju Assets Sdn Bhd. Adam juga merupakan sepupu kepada menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, Adlan Berhan dan orang kanan kepada ketua parti Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional itu, lapor Finance Twitter.

Menurut blog itu, Adlan sendiri terlibat dalam dua skandal iaitu Sistem Imigresen Bersepadu Nasional yang dilancarkan dalam bulan April 2021 yang bernilai RM1.2 bilion dan 1BestariNet – projek 15 tahun yang bernilai RM4.47 bilion yang diperkenalkan oleh Mahiaddin ketika beliau Menteri Pendidikan dalam bulan Mac 2011.

Projek tersebut bertujuan menyediakan khidmat jalur lebar dan proses pembelajaran maya (VLE) kepada 10,000 sekolah. Projek ini kemudian diambilalih oleh YTL Communications dan dibelenggu dengan dengan pelbagai masalah.

Sekolah sekarang menggunakan kemudahan Google Classroom.

Adam Radlan merupakan kata kunci yang mengaitkan Mahiaddin dengan skandal rasuah. Dalam bulan April 2021, Mahiaddin sendiri yang mengumumkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya telah menyuntik RM662.5 bilion (RM340 bilion sebagai pakej suntikan ekonomi dan RM322.5 bilion untuk Belanjawan 2021 untuk melawan penularan pandemik Covid-19).

Ketika itu pengumuman tersebut meyakinkan masyarakat bahawa dana tersebut bertujuan untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi.

Pembentukan kerajaan oleh Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mendedahkan terdapat kelopongan dalam pengurusan dana tersebut. Sekarang Mahiaddin mendakwa bahawa jumlah yang disuntik hanya RM 530 bilion.

Dari jumlah tersebut beliau mendakwa pentadbirannya membelanjakan RM83 bilion sebagai suntikan fiskal. Ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional tidak membelanjakan RM530 bilion.

Penyiasatan SPRM menumpukan perhatian kepada RM92.5 bilion – dana pentadbiran Mahiaddin setelah penyiasatan mendapati sejumlah RM437.5 bilion bukan dari dana kerajaan.

Persoalan yang boleh dibangkitkan oleh Finance Twitter ialah ke manakah hilangnya RM9.5 bilion – perbezaan dana yang diisytihar Mahiaddin dan dana yang disiasat oleh SPRM.

Semasa pentadbiran Mahiaddin yang diwarnai dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan penggunaan Ordinan Darurat, Muhyiddin telah menggunakan kaedah tradisional untuk memperkayakan diri dan sanak saudaranya.

Adam Radlan menjadi wakil beliau untuk berhubung dengan para kontraktor dan para pegawai kerajaan tinggi dalam proses pengagihan kontrak.

SPRM telah menyerbu lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat pada bulan lepas sebagai sebahagian daripada penyiasatan mereka dalam kes salah guna dana kerajaan Perikatan Nasional.

Hasilnya, mereka mendapati sekurang-kurangnya lima orang tengah di beberapa syarikat terlibat dalam pemerolehan projek bernilai antara RM50 juta dan RM500 juta melalui rundingan terus.

Para kontraktor yang disoalsiasat mengakui bahawa mereka bersetuju membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus kepada orang tengah.

Penahanan Adam setakat ini memberikan gambaran bahawa Adam merupakan proksi utama Mahiaddin dalam projek memperkayakan diri Mahiaddin dan kroninya.

Komisyen yang dibayar dalam lingkungan RM4.5 bilion telah dibayar kepada Adam dan pasukan orang tengahnya secara terang menunjukkan bahawa wang rasuah dikumpulkan bagi pihak Mahiaddin di antara tahun 2020 dan 2022.

Apa yang lebih menarik ialah lebih kurang 90 peratus projek rundingan terus ini tidak dilaksanakan kerana tiada surat pesanan belian dikeluarkan.

Ini bermakna RM4 bilion telah dibayar oleh para kontraktor kepada Mahiaddin tetapi projek tersebut tidak berjalan. Wang yang didepositkan ke dalam akaun parti Bersatu.

Oleh itu Mahiaddin berdepan dengan masalah kerana mereka mungkin saja tampil sebagai saksi kes dan wang di dalam akaun parti adalah bermasalah.

Menurut Finance Twitter, Perikatan Nasional yang terdiri daripada dua parti besar Bersatu dan PAS telah membuka langkah kiri kerana menjangkakan bahawa ia akan mendirikan kerajaan Melayu – Bersatu, PAS dan Umno – seusai pilihan raya umum ke 15 sepertimana yang berlaku di dalam bulan Mac 2020 apabila Mahiaddin menjadi ketua kerajaan dan diikuti oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Para kontraktor juga telah mengandaikan bahawa Perikatan Nasional akan membentuk kerajaan pusat. Kini mereka kehilangan projek dan wang yang mereka bayar telah digunakan sebagai dana pembiayaan politik semasa PRU. Wang tersebut juga digunakan untuk membeli undi Melayu pada harga RM350. Semuanya hangus. Mahiaddin pula menggunakan akaun luar pesisir untuk menyimpan dana sebanyak RM 4 bilion.

Komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus adalah untuk Mahiaddin sahaja. Orang tengah dan pegawai kerajaan yang terlibat dikatakan meminta sekurang-kurangnya RM200,000 hanya untuk perjumpaan dengan kontraktor. Perjumpaan tersebut bukan jaminan kontraktor akan memperoleh projek dari program suntikan ekonomi bernilai RM92.5 bilion.

Finance Twitter memberikan contoh ketirisan yang berlaku dalam kontrak bernilai RM 7 bilion di bawah projek kawalan banjir bernilai RM15 bilion menerusi rundingan terus kepada syarikat bermasalah seperti Mangkubumi Sdn Bhd.

Bagaimana Mangkubumi memperoleh kontrak berkenaan walhal ia berdepan kes penggubahan wang haram sebanyak RM139 juta?

Adam Radlan yang juga merupakan ahli majlis Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin. Dia didakwa dibawah seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali jumlah rasuah atau RM10,000 sekiranya didapati bersalah.

Jelas dakwaan Mahiaddin bahawa beliau berani berdepan dengan siasatan adalah satu pembohongan, tegas Finance Twitter.

Beliau turut mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dakwaannya. Sebulan kemudian sepupu menantu Mahiaddin dicekup SPRM.

Kerajaan perpaduan yang ada sekarang belum pun mula membuka pekung bagaimana Mahiaddin memperoleh dana daripada syarikat perjudian untuk membantu membiayai kempen PRU15.

Cabutan loteri khas telah ditingkatkan oleh kerajaan Mahiaddin dari lapan ke 22 meskipun Pas mempunyai pendirian anti judi dan menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Cabutan khas yang bermaksud untuk meningkatkan pendapatan kerajaan telah menyumbang RM80 juta sebagai tambahan pendapatan kepada kerajaan dalam tahun 1999 ketika ia diperkenalkan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini ia menghasilkan purata pendapatan sebanyak RM200 juta yang membolehkan Bersatu dan Pas berbelanja sewenang-wenangnya.

Dalam keseluruhan skandal ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa Tengku Zafrul membuka langkah kiri.

Beliau yang merupakan Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Mahiaddin menyatakan tiada salah laku berlaku dalam pengurusan dana kerajaan Perikatan Nasional. Ada kemungkinan Tengku Zafrul terpalit sama dalam skandal rasuah Mahiaddin.