Kalimah Allah: KDN perlu keluarkan arahan pentadbiran baharu – KANUN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengeluarkan Arahan Pentadbiran baharu berhubung penggunakan kalimah Allah termasuk melibatkan bahan-bahan yang boleh diimport ke negara ini.
Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman berkata perkara itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa “Arahan Pentadbiran 1986″ adalah tidak sah dan tidak berkuat kuasa disebabkan isu teknikal.”.
“Arahan Pentadbiran 1986 itu telah digunakan semenjak sekian lama untuk menentukan bahan-bahan yang boleh diimport ke Malaysia.
“Oleh kerana Arahan Pentadbiran 1986 sudah diisytiharkan sebagai tidak sah, maka pihak KDN perlu bertindak segera mengeluarkan Arahan Pentadbiran yang baharu yang mempunyai sifat yang sama supaya bahan-bahan import seumpama itu dapat dikawal selia semula,” katanya dalam kenyataan.
Zulqarnain turut menyarankan agar Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) dapat melakukan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh terutamanya Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan NGO Islam untuk memberikan taklimat lanjut tentang dasar kerajaan berkaitan isu ini.
“Akhir sekali, KANUN berharap agar tiada mana-mana pihak yang cuba memanipulasikan isu ini bagi menaikkan kemarahan orang awam terhadap Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“KANUN percaya kerajaan pada hari ini mengambil berat isu ini dan akan mencari penyelesaian terbaik bagi meredakan keresahan orang ramai,” ujarnya.
Terdahulu dalam kenyataan itu, Zulqarnain berkata keputusan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai rampasan cakera padat (CD) terdapat kalimah Allah daripada seorang wanita Sarawak beragama Kristian dapat mengendurkan ketegangan kaum dan agama antara masyarakat Sabah dan Sarawak.
Kata beliau, pihaknya sedar bahawa isu penarikan balik notis rayuan itu sudah menjadi isu kepentingan awam dan digunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.
Namun jelasnya, kes ini sudah terlalu lama berlangsung sejak 2008 dan tidak akan menemui noktah penyelesaian segera memandangkan rayuan kes belum didengar di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Persekutuan.
“Isu ini diapi-apikan sebagai kononnya Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani sudah menjadi liberal dan gagal mempertahankan kesucian agama Islam.
“Padahal Perdana Menteri sendiri telah menunjukkan komitmen beliau terhadap Islam dengan memberikan peruntukan ratusan juta ringgit termasuk memberikan elaun tambahan kepada guru-guru agama Islam di Kelantan dan melaksanakan program keagamaan Islam di Seri Perdana saban minggu,” katanya.
Pada 15 Mei, KDN mengambil keputusan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.
Mahkamah sebelum ini memberi kebenaran sedemikian selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.
Pada 11 Mei 2008, CD berjudul”Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”,”Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah” dan”Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah” telah dirampas daripada Jill sebaik beliau tiba di lapangan terbang di Sepang.
Susulan itu, Jill memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula CD itu dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.
Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan agar kesemua lapan CD itu dipulangkan namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon.
BACA JUGA: Dasar penguatkuasaan kalimah Allah diperkukuh – Kabinet