Kalimah Allah: Peraturan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu Julai ini

Peraturan penggunaan kalimah Allah akan dibentangkan di mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu dalam bulan Julai tahun ini, susulan dari keputusan kabinet untuk memperkemaskan peraturan tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan memperkemaskan beberapa peraturan tertentu perlu dibuat supaya tiada lagi keputusan mahkamah yang bercanggah dengan Majlis Raja-Raja, terutama berhubung isu sensitif umat Islam.

“Bagaimana nak memperkemas supaya tidak ada percanggahan ini? Apa yang akan dilakukan? Jadi Tuanku Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan supaya kertas Jemaah Menteri dirujuk pada Majlis Kemajuan Islam yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor.

“Sultan akan memberikan beberapa pandangan memperkemaskan peraturan ini supaya keputusan muktamad penggunaan kalimah Allah tidak boleh dipakai di Semenanjung, tetapi boleh dengan syarat tertentu untuk Sabah dan Sarawak.

“Insya Allah, (ia) akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada bulan Julai nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan buat kesekian kalinya bahawa pendirian kerajaan adalah jelas bahawa penggunaan nama Allah sama sekali tidak boleh digunakan oleh agama lain di Semananjung, kecuali di Sabah dan Sarawak dengan syarat dan ruang-ruang tertentu.

“Jadi saya tak fikir ia munasabah nak digunakan dan dipolitikkan isu ini. Pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri memperakui keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja Melayu. Nama Allah tak boleh digunakan di Semenanjung Tanah Melayu,” katanya.

Beliau menyatakan perkara ini semasa menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) semasa sesi pertanyaan perdana menteri.