Kami ambil risiko besar tubuh parti baru, tak pernah takut kalah

Kami ambil risiko besar tubuh parti baru, tak pernah takut kalah

Pemimpin AMANAH mengambil risiko besar termasuk bersedia berdepan kekalahan apabila memilih untuk meninggalkan Pas dan menubuhkan parti baharu.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, parti itu tidak akan tertubuh sekiranya mereka tidak berani mengambil risiko pada Pilihan Raya Umum 2018.

Menurutnya, keputusan meninggalkan Pas dan menubuhkan parti baharu adalah satu keberanian dan bukannya “takut kalah” seperti yang dilabel Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Dakwaan ahli-ahli Pas keluar parti dan tubuhkan AMANAH kerana takut kalah dalam pilihan raya adalah satu pembohongan.

“Kami keluar daripada Pas (dan) tubuh parti AMANAH, mengambil risiko yang besar. Risiko ini kalau tak ada keberanian tak mungkin kami lakukan.

“Kalau tak ada keberanian menerima risiko kalah dalam pilihan raya 2018, tak akan ada AMANAH. Maka itu, ketika 2018 kita menang, itu adalah satu keberanian. Kenapa pula kita dilabel sebagai takut kalah?,” soalnya dalam satu video dimuat naik di laman X.

Hadi dalam ucapannya di Markas Pas Bakri sebelum ini mendakwa, tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu yang menyertai AMANAH adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Hadi turut menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas.

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa pemimpin AMANAH sayang mahu tinggalkan DAP kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Berkenaan isu menentang hukum hudud, Mujahid menegaskan bahawa mereka tidak pernah menolak hudud seperti yang didakwa.

Menurutnya Rang Undang-undang 355 (RUU355) itu sendiri tidak pernah dibawa oleh Pas ke Parlimen sepanjang 33 bulan mentadbir, maka tidak sepatutnya menuduh mereka bersekongkol dengan DAP untuk menolak hudud.

“Satu akta perlu dikatakan sokong atau tidak apabila dibahaskan dan dibacakan pada bacaan kedua. Tapi tidak ada bacaan kedua, tidak ada perbahasan langsung di Parlimen ketika itu.

“Apa yang dia nak dustakan dengan mengatakan kita tolak? Ada isu-isu lain yang perlu kita bahas tentang kecekapan mahkamah syariah, hakim-hakim, mahkamah Syarie, dan isu pentadbiran. Bukan kita menolak.

“Macam mana dia kata kita tak mahu kalau ia tidak pernah dbawa untuk berbincang dan berbahas dalam Parlimen,” katanya.

Pas dalam kempennya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram di Johor menjadikan DAP sebagai sasaran bagi menarik sokongan pengundi.

Abdul Hadi mendakwa sikap DAP yang menolak Islam membuatkan parti itu memutuskan kerjasama ketika dalam Pakatan Rakyat (PR).

Abdul Hadi juga mendakwa keengganan DAP menerima hukum hudud mendorong Pas menggerakkan usaha menukar kerajaan ketika PH – yang mendapat mandat daripada pengundipada 2018 – mentadbir negara.

BACA JUGA Hadi Awang biarkan Pakatan Rakyat terbubar sebab takut kalah pilihan raya

COMMENTS

Wordpress (0)