Kampung Baru: Khalid akan bertemu PM, bawa tuntutan penduduk batal Akta Pengambilan Tanah 

Kampung Baru: Khalid akan bertemu PM, bawa tuntutan penduduk batal Akta Pengambilan Tanah 

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi memohon agar kerajaan membatalkan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru yang menggunakan Akta Pengambilan Tanah (APT).

Khalid ketika sidang media bersama sekumpulan penduduk hari ini berkata, beliau sejak 2020 lagi membantah tindakan menteri ketika itu, Tan Sri Annuar Musa yang membenarkan tanah penduduk dirampas menggunakan akta tersebut.

Beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil keputusan berani dan tegas untuk menarik semula warta pengambilan tanah kampung Baru supaya tidak berlaku ‘precedent’ yang membahayakan

Khalid bersama penduduk Kampung Sungai Baru

“Hari ini saya ulangi pendirian saya, Perdana Menteri mesti berani untuk mengelak satu precedent yang sangat berbahaya iaitu tanah milik peribadi boleh diambil dengan sewenang-wenangnya bukan untuk untuk projek swasta

“Saya akan terus sampaikan kepada Perdana Menteri. Saya akan jumpa PM hari ini berhubung tuntutan pemilik yang mahukan penyelesaian adil.

“Mesti ada satu penyelesaian yang muktamad. Bagi kami (perlu) tarik Akta Pengambilan Tanah itu, dan runding semula. Kerana bila dah guna akta ini, nak runding selepas ini dah tak boleh.

“Bila tanah dah diambil, nak runding macam mana. Lalu kita berada di kedudukan yang lemah. Tarik balik, runding balik, panggil beberapa pemaju untuk beri tawaran yang terbaik,” katanya pada sidang media bersama Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru, hari ini.

Pada penghujung 2021, penduduk diarah mengosongkan unit mereka bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan itu.

Kerajaan ketika itu didakwa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dihantar kepada penduduk beserta notis di dinding-dinding rumah.

Dilaporkan, pemilik flat di Kampung Sungai Baru diberi pampasan sebanyak RM250,000 atau RM400 sekaki persegi. Mereka bagaimanapun membantah pampasan yang diberikan.

Lele Suzana

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Kampung Sungai Baru, Lele Suzana dalam sidang akhbar yang sama berkata, mereka telah menerima notis kali kedua pada 5 Oktober lalu yang meminta kesemua pemilik untuk mengosongkan rumah.

Suzana menyatakan kekesalan kerana pihak berkuasa terutama pejabat tanah didakwa cuba menakutkan mereka, malah ada penduduk yang rumahnya telah pun disita.

“Sebelum ini pemilik-pemilik terima notis pada 5 September 2023 supaya rumah dikosongkan pada 4 Oktober. Kami sekali lagi terima notis kedua pada 5 Oktober 2023.

“Kami faham pejabat tanah jalankan tugas tapi tak perlulah bawa segerombolan para pekerja yang diiringi polis bantuan dan pemaju.

“Kami pemilik sangat berakhlak. Kami tak patut ditakutkan sebegitu rupa. Ada rumah yang disita. Apa sebenarnya yang mahu ditunjukkan oleh pejabat tanah?,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan bahawa, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) sepatutnya bertindak membela penduduk dan bukan melakukan sebaliknya.

“Mereka suruh keluar tapi tak bagitahu keluar ke mana. Sepatutnya proses perpindahan itu diurus oleh PKB. PKB digajikan untuk jaga kepentingan orang Kampung Baru. Bukan usir mereka. Kena siapkan tempat dahulu.

“Kena dengar kehendak mereka kerana mereka pemilik. Bagi saya tiada sebab nak pertahankan tindakan Annuar Musa. Saya seru Anwar Ibrahim seberani Annuar Musa.

“Annuar Musa menggunakan Akta Pengambilan Tanah, Anwar Ibrahim patut berani tarik balik akta tersebut,” tegasnya.

BACA JUGA Pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru telah ditangguhkan atas arahan PMX

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )