Kapasiti Selangor pacu ekonomi terus unggul, 30 firma Jepun minat melabur – MB
Penyertaan luar biasa lebih 30 syarikat dari Jepun yang berminat melabur di Selangor membuktikan kapasiti negeri ini terus unggul sebagai pemacu ekonomi negara.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata melangkaui empat dekad Dasar Pandang Ke Timur, kapasiti negeri semakin kukuh sebagai pasak pelaburan asing untuk diterokai lebih banyak syarikat multinasional dari negara Matahari Terbit itu.
“Alhamdulillah penyertaan luar biasa lebih dari 30 syarikat dari Jepun yang berminat melabur di Selangor membuktikan kapasiti Selangor terus unggul sebagai pemacu ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Amirudin berkata perkara itu diserlahkan lagi melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menyaksikan Integrated Development Region in Southern Selangor (IDRISS) sebagai hab baharu ekonomi Malaysia berpaksi di Selangor.
Katanya pembangunan itu dilaksanakan melalui projek Selangor International Aeropark (SAP), NCT Smart Industrial Park, Selangor Business Capital (SBC), Sepang Gold Coast Global Village dan beberapa lagi.
Terdahulu Amirudin mengetuai lawatan singkat di Jepun hasil koordinasi Invest Selangor dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Lawatan itu yang menghasilkan dua Persidangan Meja Bulat di Osaka pada 7 Mac manakala Tokyo pada 8 Mac.
Persidangan itu turut disertai oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta NCT Group sebagai pembentang selain Invest Selangor bersama-sama Exco Pelaburan dan Perdagangan Datuk Teng Chang Khim.
Berdasarkan unjuran dibuat oleh MIDA antara tahun 2017 ke tahun 2021, Jepun menjadi penyumbang ketiga terbesar pelaburan langsung asing dengan nilai pelaburan sejumlah AS$804 juta.
Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan terhasil dengan majoritinya tertumpu di Selangor melalui pengoperasian beberapa syarikat besar seperti Sony, Panasonic, Toyota, Denso, Daikin dan lain-lain.
BACA JUGA: Amirudin bidas Shahidan, PN pun tidak beri bonus sampai RM1,000
Â