Kasihan Wan Saiful, sangat terdesak pertahan pemimpin ponteng

Veteran DAP, Lim Kit Siang melahirkan rasa kasihan beliau kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang cuba mempertahankan pemimpin tertinggi mereka yang tidak hadir ke Parlimen.

Di samping kasihan, beliau menyifatkan gelagat Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang didakwa melakukan rasuah itu, sebagai memalu dan menyedihkan.

“Amat memalukan dan menyedihkan untuk melihat bekas Ketua Penerangan Bersatu yang juga merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan terdesak mencuba untuk mempertahankan ketiadaan barisan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) semalam,” kata Kit Siang yang menjadi Ahli Parlimen lebih 40 tahun itu.

Bagi beliau, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, telah membuat satu kenyataan yang betul apabila dia mengkritik tiga pimpinan tertinggi PN kerana tidak hadir ke Parlimen semasa sesi PMQT semalam.

LIM KIT SIANG

“Boleh tiga pemimpin tertinggi PN ini, dua calon Perdana Menteri PN, Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang, dan juga Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, menjelaskan mengapa mereka “ponteng” dari menjalankan tanggungjawab mereka di parlimen semalam ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjawab persoalan-persoalan mengenai hasil lawatan rasminya China, isu vape, dan isu doktor kontrak?” tanya beliau.

Dalam cubaan mempertahankan tiga pemimpin utama pembangkang, Wan Saiful mengatakan yang penambahbaikan perlu dibuat kepada sesi PMQT ini, termasuklah mengenai soalan apa yang boleh ditanyakan.

Dia mengatakan yang semasa PMQT, hanya Ahli Parlimen yang dipanggil oleh speaker sahaja yang boleh berdiri untuk mengemukakan soalan. Ahli-ahli Parlimen yang lain tidak dibenarkan untuk mencelah.

“Wan Saiful tidak memberikan gambaran sebenar persidangan Parlimen. Malah, dia sedang cuba untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang sebenar,” katanya.

Menurut pengalaman beliau, sekiranya mana-mana dari tiga ketua-ketua pembangkang ini telah bangkit untuk bertanya soalan susulan sama ada semasa PMQT atau semasa waktu pertanyaan jawab lisan, Speaker akan memberikan mereka keutamaan berbanding dengan mana-mana Ahli Backbencher yang lain berdasarkan kekananan dan kedudukannya.

Sejak pengenalan PMQT pada 14 Februari 2023, sudah ada lapan PMQT diadakan dan “semakan Penyata Rasmi akan menunjukkan tidak ada sekali pun dari kelapan-lapan PMQT ini di mana salah seorang dari tiga pemimpin tertinggi pembangkang ini telah bangkit untuk mengemukakan soalan susulan.

“Adakah sesiapa dari kalangan tiga orang pemimpin pembangkang ini yang boleh mengatakan yang mereka telah cuba untuk mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri semasa PMQT tetapi tidak diberikan ruang oleh Speaker?” tanya beliau.

Sekiranya tidak, tanya beliau, bolehkah ketiga-tiga pemimpin PN ini memberikan jawapan mengapa mereka kerap ponteng dari menjalankan tanggungjawab mereka di Parlimen dalam kelapan-lapan sesi PMQT dalam tiga bulan yang lepas?.

 

BACA JUGA Pemimpin tertinggi Perikatan Nasional ponteng sesi soal perdana menteri sekali lagi