KDNK berkembang 5.6 peratus, atasi jangkaan ramai pakar

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2023 berkembang sederhana pada kadar 5.6 peratus.

Ini sekaligus mengekalkan ramalan bank pusat itu bahawa ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini.

Ia juga menolak ramalan 21 ahli ekonomi yang ditinjau Reuters baru-baru ini sebelum pengumuman itu, di mana pakar menjangkakan pertumbuhan hanya sekitar 4.8 peratus turun daripada 7.1 peratus pada suku keempat 2022.

Perkembangan ekonomi didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.

Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dilapor berkata, pasaran pekerja yang bertambah baik serta peningkatan guna tenaga yang mantap dan upah yang terus meningkat telah menyokong penggunaan swasta.

Katanya, risiko terhadap prospek pertumbuhan Malaysia secara relatif adalah seimbang.

“Risiko pertumbuhan menjadi tinggi berpunca terutamanya daripada faktor dalam negeri, termasuk aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan dan pelaksanaan projek, termasuk yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023.

“Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi perlahan boleh berpunca daripada eksport yang lebih rendah disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu,” kata beliau dalam sidang media di BNM hari ini.

Sementara itu, aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti dan projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan menjadi antara penyumbang kepada pertumbuhan tersebut.

Pelancongan ke dalam negeri yang terus pulih meningkatkan eksport perkhidmatan dan sebahagiannya mengimbangi pertumbuhan eksport barangan yang lebih perlahan.

Ujar beliau, dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus berbanding negatif 1.7 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Meskipun menghadapi rintangan global, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun 2023.

Perkembangan ini didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

Guna tenaga dan pendapatan yang bertambah baik serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun akan menyokong aktiviti penggunaan dan pelaburan.

Selain itu, aktiviti pelancongan ke dalam negeri yang lebih giat akan menyokong industri perkhidmatan yang berhubung rapat dengan pelanggan.