Kebijaksanaan pengguna boleh redakan kenaikan harga

Rakyat harus bijak menggunakan kuasa pengguna sebagai penentu harga barangan bagi meredakan kenaikan harga, kata Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata faktor kebijaksanaan pengguna berupaya menjadi penentu harga barangan yang dijual dan memastikan peniaga mematuhi prinsip perniagaan dengan persaingan yang adil.

“Kebijaksanaan pengguna adalah kuasa pengguna yang dapat meredakan kenaikan harga, khususnya peningkatan harga yang tidak berpatutan. Pengguna berupaya mempengaruhi harga di pasaran dan mendisiplinkan peniaga untuk menawarkan harga yang adil bersandarkan faktor penawaran dan permintaan asli.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan membina pangkalan data yang akan membantu pengguna membandingkan harga dan berkongsi maklumat.

“Kerajaan akan meningkatkan perkongsian data dan maklumat kepada rakyat berkaitan harga barangan dan perkhidmatan dengan lebih kerap dan terperinci bagi membolehkan pengguna membuat keputusan terbaik dalam keputusan kepenggunaan masing-masing.

“Satu pangkalan data dan info analitik bersifat ‘real time’ dan khusus-lokasi serta mudah dicapai dan difahami rakyat akan dibangunkan. Dengan maklumat yang terkini, lengkap dan mudah, rakyat akan boleh membuat perbandingan harga ke atas sesuatu barangan dan perkhidmatan di lokasi masing-masing, “ kata beliau dalam hantaran di Facebook miliknya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menasihatkan pengguna untuk tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

Beliau menambah bahawa perkongsian maklumat dan data ini akan meningkatkan kebijaksanaan pengguna dalam membuat keputusan kepenggunaan serta mampu mendisiplinkan pengeluar atau peniaga untuk menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga adil serta kompetitif.

Di samping itu, kesediaan pengguna untuk membuat peralihan gaya hidup yang bersesuaian tanpa menjejaskan kualiti kehidupan juga akan ditingkatkan.

Noor Azlan turut menyatakan bahawa pengguna yang bijak akan membentuk masyarakat yang sihat kerana mereka lebih arif berkenaan makanan sihat dan harga.