Kedah pun guna logo, tema sama dengan Putrajaya tapi ini kata Sanusi…

Kedah pun guna logo, tema sama dengan Putrajaya tapi ini kata Sanusi…

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kerajaan negeri akan menggunakan logo dan tema sama yang digunakan Kerajaan Persekutuan bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu berpendapat tema ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ tidak menjadi masalah untuk digunakan dalam sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.

Sebaliknya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, apa yang lebih penting adalah semangat patriotik dalam kalangan rakyat setiap kali sambutan Hari Kebangsaan.

“Kita ikut (logo dan tema) Persekutuan sama macam Terengganu. Pendirian kita tak ada isu dalam logo dan tema yang sama kerana sambutan peringkat Kebangsaan, jadi negeri ikut sahaja.

“Bukan bermakna kita setuju dengan Madani atau Perpaduan, mereka boleh letak apa (tema) pun kerana hati kita macam kita juga.

“Yang penting patriotik, slogan yang lepas pun kita lupa, lepas ini kita lupa, bukan kita nak ikut Pakatan Harapan (PH), tapi dijadikan slogan nasional maka ikut saja,” katanya.

Kedah menuruti jejak Terengganu sebagai negeri pertama dikuasai PN yang akan menggunakan logo dan tema yang sama dengan Kerajaan Pusat bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Kelantan juga menggunakan logo yang sama dengan Putrajaya seperti diperkenalkan Kementerian Komunikasi dan Digital pada 27 Mei lalu.

Namun, bagi tema sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan negeri dikuasai Pas lebih 30 tahun itu akan menambah ayat di hujung tema Kerajaan Persekutuan menjadi ‘Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan Membangun Bersama Islam’.

Sementara itu, Perlis pula pada 19 Ogos lalu dilapor akan menggunakan tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ tetapi menolak penggunaan logo rasmi selain frasa ‘Malaysia Madani’ yang digunakan di peringkat kerajaan Pusat.

Isu penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan tercetus selepas Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengumumkan empat negeri di bawah pentadbiran blok pembangkang itu mungkin menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Namun, selepas dihujani kecaman banyak pihak, Ketua Pemuda Pas tersebut memaklumkan perkara itu hanyalah cadangan Pemuda PN sebagai alternatif logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan.

BACA JUGA Kelantan ikut Terengganu guna logo, tema Hari Kebangsaan sama Kerajaan Persekutuan 

COMMENTS

Wordpress (0)