Kedaulatan P. Pinang: MB Kedah dinasihat jangan pertikai kedudukan Agong

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan supaya berhati-hati dalam ucapannya yang secara tidak langsung telah mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai penjaga negeri-negeri tidak mempunyai raja.

Malahan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) yang bersidang pada Selasa menyokong sebulat suara usul tanpa pemberitahuan berkaitan ucapan ekstremis Sanusi yang meragui kedaulatan Pulau Pinang..

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Sanusi jika tidak berhati-hati boleh mengheret beliau kepada kesalahann di bawah Akta Hasutan kerana secara tidak langsung telah mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

“Menteri Besar Kedah seharusnya tidak wajar setakat menggunakan buku yang ditulis oleh R. Bonney dengan tajuk ‘ Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence sebagai bukti membabitkan pertikaian tersebut.

“Harus disedari bahawa Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 71 yang dibaca bersama Jadual Kelapan membuktikan pengikirafan undang-undang terhadap Pulau Pinang sebagai negeri yang berdaulat selepas statusnya sebagai negeri Selat digugurkan melalui proses kemerdekaan.

“Seramai 1.8 juta rakyat Pulau Pinang setia dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang. Maka itu ucapan ekstrim dan mengapi-apikan secara terbuka yang meragui kedaulatan telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat negeri ini, ” ujar beliau.

Kata Kon Yeow lagi, kenyataan Menteri Besar Kedah tersebut secara tidak langsung membuktikan beliau mempertikai kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan melantik Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Selain itu katanya kenyataan Sanusi turut bertentangan dengan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama dalam negara ini.

Sebelum ini Sanusi telah beberapa kali mempersoalkan tentang kedaulatan negeri Pulau Pinang dan perkara ini turut dicabar oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri supaya perkara itu dibawa sehingga ke mahkamah.

Namun begitu ia tidak menjadi realiti walaupun cabaran turut dibuat sehingga ke sidang Parlimen.

Pada 7 Mac lalu, sidang DUN Pulau Pinang melulus usul agar Sanusi menarik balik dan meminta maaf atas kenyataannya mempertikaikan kedaulatan negeri itu.

BACA JUGA: ‘Pergi beritahu Sanusi jangan main-main dengan Pulau Pinang’