Keganasan Israel: Elon Musk umum akan aktifkan internet Starlink di Gaza

Keganasan Israel: Elon Musk umum akan aktifkan internet Starlink di Gaza

Bilionair Elon Musk sebentar tadi mengumumkan Starlink miliknya “akan menyokong sambungan kepada organisasi bantuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Gaza.”

Pengumuman pengasas Tesla dan pemilik laman X itu selepas Israel mengebom pencawang komunikasi menyebabkan Gaza terputus dengan hubungan luar.

Tindakan biadab tentera zionis Israel di Gaza juga  menjejaskan mereka yang sedang menjalankan misi kemanusiaan di sana.

Dalam masa sama, tanda pagar #StarlinkForGaza semakin popular di rangkaian sosial X apabila warganet meminta Elon Musk menyediakan internet Starlink ke Gaza.

Sementara itu, situasi di Gaza pada masa ini merupakan yang terburuk pernah disaksikan sejak keganasan Israel tercetus 7 Oktober lalu.

Lapor Al Jazeera, penduduk di selatan Gaza sedang berdepan situasi terburuk dan paling getir dalam sejarah peperangan Israel-Palestin.

Agensi berita itu dapat menyampaikan perkembangan masa ke masa dari kawasan kepungan Gaza menerusi satelit meskipun tidak kerap.

Gaza musnah teruk dengan lebih 7,000 rakyat Palestin terkorban dibedil pengganas Israel tanpa henti.

Menurutnya, komunikasi secara langsung gagal ekoran tindakan Israel memutuskan sepenuhnya jaringan telekomunikasi.

Semalam, jurucakap ketenteraan Israel menyebarkan peta yang menunjukkan Hospital Al Shifa menjadi tapak ibu pejabat pimpinan Hamas.

Hamas bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan sejam kemudian Gaza sudah terputus hubungan dengan dunia luar.

Kira-kira jam 7 malam waktu tempatan, serangan besar-besaran dilancarkan di laut dan darat menyasarkan utara Gaza sekitar Hospital Al Shifa.

Ratusan yang berada dalam kawasan itu dilaporkan terbunuh.

Pejuang Hamas dalam pada itu berikrar akan berjuang habis-habisan menentang rejim zionis yang tanpa henti meragut nyawa individu terutama kanak-kanak tidak berdosa.

BACA JUGA ‘Setiap saat begitu penting buat rakyat Palestin’

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )