Keganasan Israel: Ini 20 fakta situasi getir Palestin selepas genosid hari ke-20

Keganasan Israel: Ini 20 fakta situasi getir Palestin selepas genosid hari ke-20

Sejumlah kereta kebal pengganas Israel sudah melakukan “serbuan bersasar” di utara Gaza pada 26 Oktober iaitu hari ke-20 serangan tanpa henti rejim Zionis di bumi Palestin.

Ura-ura serangan darat Israel itu memperlihatkan teroris nombor satu dunia itu tidak pernah berpuas hati dengan genosid iaitu pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin melalui serangan udara sejak 7 Oktober lalu.

Jenayah kemanusiaan dilakukan Israel itu menyaksikan ramai mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan selepas serangan menggila pengganas mengakibatkan kerosakan teruk di seluruh Gaza.

Dalam sama sama, ramai ahli keluarga Palestin memilih untuk bertebaran, dengan harapan dapat mengurangkan risiko kesemua mereka terkorban dalam satu serangan.

Malangnya, keluarga yang berada di merata bahagian Gaza itu pula ramai tidak menyedari bahawa orang tersayang telah terbunuh dalam serangan Israel akibat masalah komunikasi.

Berikut 20 fakta perlu anda tahu selepas 20 hari genosid Israel di Palestin, bumi para anbiya:

1. Angka korban akibat serangan udara tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza sudah meningkat kepada 7,028 orang pada 26 Oktober. Jumlah ini termasuk 2,913 kanak-kanak, 1,709 wanita dan 397 warga emas. Sejumlah 18,484 lagi rakyat Palestin cedera.

2. Pengganas Israel melakukan 43 pembunuhan beramai-ramai dalam tempoh 24 jam lepas, mengorbankan 481 orang, sebahagian besar mangsa terdiri mereka yang berpindah ke selatan Semenanjung Gaza yang didakwa selamat oleh Israel.

3. Secara keseluruhan sebanyak 731 pembunuhan massa dilakukan tentera Zionis Israel manakala terdapat 1,650 laporan orang hilang, termasuk 940 kanak-kanak.

4. Sebanyak 57 kemudahan penjagaan kesihatan turut menjadi sasaran, mengakibatkan 12 hospital dan 32 pusat penjagaan musnah dan tidak dapat beroperasi serta mengorbankan 101 pegawai perubatan.

5. Pasukan perubatan terpaksa menggunakan trak ais krim untuk menyimpan mayat ekoran kekurangan ruang di bilik mayat hospital. Namun, jumlah mayat masih melebihi kapasiti apabila kira-kira 20-30 mayat terpaksa diletakkan di dalam dan luar khemah setiap hari.

6. Hospital di Gaza beroperasi tanpa bekalan elektrik dan air. Pesakit termasuk 130 bayi pramatang berdepan risiko maut. Pasukan perubatan berdepan cabaran tanpa ubat bius, menggunakan telefon bimbit sebagai lampu, dan cuka sebagai antiseptik.

7. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menganggap sikap berdiam diri Barat terhadap “pembunuhan beramai-ramai” di Palestin sebagai sangat memalukan ketika berbincang dengan Pope Francis melalui telefon.

8. Presiden Brazil, Lula da Silva menyifatkan serangan di Gaza adalah sangat serius dan bukanlah satu peperangan, tetapi “pembunuhan beramai-ramai” apabila 2,000 kanak-kanak yang tiada kaitan dengan perang terkorban.

9. Imej satelit baharu yang dikeluarkan oleh MAXAR menunjukkan kerosakan teruk di seluruh Gaza selepas pengganas tanpa henti mengebom wilayah terkepung dan padat dengan penduduk itu.

10. Dua pesawat tentera Maghribi yang membawa bantuan kemanusiaan kecemasan untuk penduduk Palestin tiba di lapangan terbang El Arish di timur Mesir pada 25 Oktober susulan titah Raja Mohammed VI yang juga Pengerusi Jawatankuasa Al-Quds.

11. Sejumlah peminat Celtic mengibarkan bendera Palestin sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang pasukan Sepanyol, Atletico Madrid di Glasgow pada 25 Oktober. Sejak dulu lagi peminat kelab bola sepak itu dikenali mengibarkan bendera Palestin semasa perlawanan.

12. Wartawan Palestin, Duaa Sharaf dan anaknya terbunuh pada awal pagi 27 Oktober selepas jet Israel mengebom rumahnya di kawasan az-Zawayda di tengah Gaza. Sekurang-kurangnya, 22 wartawan Palestin terkorban akibat serangan Israel sejak 7 Oktober lalu.

13. Sekurang-kurangnya 85 rakyat Palestin termasuk wanita telah ditangkap oleh tentera Israel dalam serbuan pada 25 Oktober di sebelah malam. Serbuan dilakukan di beberapa bahagian Tebing Barat yang diduduki antaranya di Nablus, Hebron dan Baitulmaqdis Timur.

14. Tentera Israel telah memenjarakan lebih 1,450 rakyat Palestin dari Tebing Barat sejak 7 Oktober. Terdapat lebih 6,600 rakyat Palestin dipenjarakan di Israel, termasuk 1,600 yang dipenjarakan tanpa tuduhan.

15. Kira-kira 800 kanak-kanak antara yang hilang di bawah runtuhan dengan banyak mayat masih tidak dikenal pasti. Perkhidmatan kecemasan tidak mempunyai peralatan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan kediaman yang musnah.

16. Presiden Rusia, Vladimir Putin menyifatkan situasi di Semenanjung Gaza sebagai ‘malapetaka kemanusiaan’. Putin berkata: “orang yang tidak bersalah tidak sepatutnya menjadi mangsa untuk jenayah yang dilakukan oleh orang lain.”

17. Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengumumkan tambahan $15 juta bantuan kemanusiaan seperti air dan perkhidmatan perubatan kepada orang awam di Gaza. Ini menjadikan jumlah bantuan yang dijanjikan oleh negara itu kepada $25 juta.

Isteri dan dua anak wartawan Al Jazeera, Wael al-Dahdouh, turut terbunuh dalam serangan udara pengganas Israel.

18. Anggota keluarga terdekat ketua biro Al-Jazeera di Gaza, Wael al-Dahdouh turut terkorban dalam serangan udara Israel di tengah Gaza. Sebelum itu, beliau bersama keluarganya melarikan diri ke kem Nuseirat di tengah Gaza selepas Israel memberi amaran kepada penduduk di utara wilayah itu supaya segera berpindah. Penyampai berita Arab di saluran Al Jazeera, Tamer Almisshal mendakwa, Wael Dahdouh dan keluarganya merupakan antara yang menjadi ‘sasaran’ Israel.

19. Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa telah bertemu dengan duta Israel ke Jepun, Gilad Cohen, bagi menzahirkan permintaan Tokyo untuk penggantungan sementara pertempuran di Gaza.

20. Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani terkejut dan menafikan dakwaan yang dibuat oleh Israel kononnya Qatar membiayai perjuangan kumpulan Hamas di Palestin.

BACA JUGA Anwar akui terima banyak teguran dan ugutan perjuang Palestin, ini jawapan PM

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )