
Kelantan ikut Terengganu guna logo, tema Hari Kebangsaan sama Kerajaan Persekutuan
Selepas Terengganu, kerajaan Kelantan pula memutuskan untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama seperti Kerajaan Persekutuan.
Keputusan itu sekaligus menolak cadangan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang mahu menggunakan logo Hari Kebangsaan berlainan di negeri-negeri PN.
Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan untuk Kelantan kekal seperti tema Kerajaan Persekutuan, iaitu “Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.
“Untuk Kelantan, kita hanya tambah ayat di hujung iaitu “Membangun Bersama Islam”. Lain-lain serta logo adalah sama,” katanya memetik Berita Harian.
Katanya, Kelantan juga akan mengadakan sambutan Hari Kebangsaan lebih awal berbanding sebelum ini, iaitu pada malam 30 Ogos.
“Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat pertama exco hari ini,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli memperkenalkan logo Hari Kebangsaan PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.
Katanya, logo dan tema dilancarkan Pemuda PN itu mahu diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.
Bagaimanapun, tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengundang kritikan ramai kerana dianggap sengaja mempolitikkan logo dan tema Hari Kebangs
Ahmad Fadhli ketika mempertahankan tindakannya berkata, penggunaan logo dan tema alternatif itu lahir apabila mendakwa Kerajaan Pusat telah mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan yang secara terang-terangan berbaur politik kepartian.
Ini kerana katanya, kerajaan telah meletakkan perkataan Madani dalam tema Hari Kebangsaan.
BACA JUGA Hentikan bertelagah kerana logo, bersama bawa suasana politik lebih matang