Kembangkan hubungan luar Malaysia – Thailand dalam bidang lain

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu diaspora Malaysia di Thailand bahawa bentuk kerjasama akrab di antara kedua negara perlu diperkembangkan ke dalam bidang lain dan bukannya terhad kepada ekonomi semata-mata.

“Kita mempunyai hubungan perniagaan, perdagangan dan jiran terdekat. Masalah sekuriti sama, suku kaum Melayu ramai di Selatan (Thai) dan masyarakat Thai di Kedah. Kita lihat jangka panjang,keutamaan kerjasama penting. Sebab itu kita tumpu Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina. Ini sempadan sama dengan kita.

“Kita akan membuat apa sahaja yang perlu untuk memastikan hubungan akrab ini berterusan selaras dengan aktiviti perdagangan. Selain itu kita harus mempunyai hubungan budaya dan pendidikan.”

Beliau berkata demikian di dalam sesi ucaptama dan soaljawab dalam majlis minum petang Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Bangkok yang telah disiarkan melalui saluran RTM.

Dalam majlis sama, beliau menyatakan hasrat Malaysia untuk meneroka sektor teknologi makanan dan tenaga memandangkan Thailand sudah di hadapan di dalam kedua -dua sektor ini.

“Sektor tenaga kritikal untuk kedua-dua buah negara. Pastikan mereka tidak tidur,” kata beliau merujuk kepada Menteri Tenaga, Sumber Asli dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut bersama dalam delegasi lawatan tersebut.

Beliau turut menekankan peri pentingnya hubungan rapat di peringkat individu untuk meningkatkan hubungan luar di antara kedua-dua buah negara.

“Saya bernasib baik kerana mempunyai hubungan personal. Sebagai ketua pembangkang, saya datang senyap-senyap sebab mengikut protokol, perdana menteri tidak boleh mengalukan kehadiran saya. Kita rapat, Hubungan yang terjalin ini penting untuk dikembangkan lagi.”

Beliau turut berseloroh mengenai ahli perniagaan Malaysia yang merapatkan hubungan Malaysia – Indonesia.

“Mereka begitu berjaya hinggakan mempunyai isteri Thai. Saya tidak mahu bersaing, saya ada Azizah.”

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika Majlis Minum Petang bersama Diaspora Malaysia di Hotel Shangri La, Bangkok pada 9 Februari 2023. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Beliau turut menyentuh mengenai penubuhan kerajaan Malaysia seusai PRU 15 yang diandaikan sebagai goyah oleh pihak lawan.

“Pakatan yang tidak baik? Ia ok. Tiada siapa menyangka ia akan stabil sebegini. Tiga kumpulan utama diajak berunding iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak. Sebagai PM, saya delegasikan tanggungjawab kepada Timbalan Perdana Menteri (Ahmad) Zahid (Hamidi) dan Fadillah (Yusof).”

Ahmad Zahid ialah pengerusi BN manakala Fadillah ketua whip GPS.

“Ini tidak menghentikan pihak lain untuk mencuba Langkah Sheraton Kedua atau kita naik tarafkan kepada Langkah St Regis,” kata beliau merujuk kepada pertemuan yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga pertemuan sebilangan pemimpin Umno dengan Bersatu.

“Mereka boleh melangkah. Kita fokus kepada kerja kita.”

Beliau turut memberi jaminan bahawa pentadbiran beliau akan fokus terhadap tatakelola yang baik dan anti-rasuah.

Anwar turut menyatakan bahawa pihak lawan akan berterusan menggunakan sentimen agama dan bangsa.

“Mereka boleh menggunakannya tapi takkan bertahan lama. Mana mungkin pemimpin yang kurang baik bertahan lama dalam dunia yang penuh dengan persaingan?”

Beliau turut menyentuh berkenaan nilai ihsan di dalam Malaysia Madani.

“Bagaimana boleh anda berkata-kata mengenai agama Islam atau Buddha tanpa nilai ihsan? Jadilah Muslim atau Buddhist dengan ihsan.”

Terdapat 5,000 rakyat Malaysia di Thailand.

BACA JUGA: Anwar dalam lawatan rasmi dua hari ke Bangkok