Kementerian Pendidikan tidak iktiraf UEC

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesahkan bahawa kementeriannya tiada perancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

“Sehingga kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tiada perancangan untuk mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

“Pendirian ini berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996,” kata Fadhlina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian meskipun pengiktirafan UEC adalah sebahagian daripada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

Ia merupakan sijil peperiksaan yang ditadbir oleh Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zong.

Walau bagaimana pun, UEC diiktiraf oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Sarawak.