Keputusan pengagihan kerusi BN-PH selepas pembubaran DUN
Keputusan pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri hanya akan dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dibubarkan nanti.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan itu akan dibuat di peringkat pusat dalam blok BN serta PH, dan proses rundingan mengenai agihan kerusi di negeri-negeri terlibat sedang berjalan.
“Keputusan pembahagian kerusi belum dibuat lagi, biar gerak kerja dilakukan dahulu, kalau cerita tentang kerusi memang akan (ada) masalah, (keputusan) pembahagian akan dibuat selepas pembubaran DUN, pada masa itu nanti kita sudah tiada pilihan, kita terus bersetuju dan terus bergerak ke hadapan.
“.. jangan cerita tentang kerusi dulu, tetapi fikirkan bagaimana kita nak menang di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Pertahanan itu bersama keluarganya di Kampung Tanjong, Rantau di Rembau hari ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.
Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN menjelaskan rundingan pengagihan kerusi adalah antara dua blok parti iaitu BN dan PH dan bukannya antara parti-parti politk.