
Keputusan sama ada Mas Ermieyati kekal MP Masjid Tanah diketahui hari ini
Keputusan sama ada Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah atau sebaliknya akan diketahui hari ini.
Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid memfailkan petisyen untuk mencabar kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) itu di kerusi Parlimen berkenaan atas dakwaan rasuah.
Peguam Amin Othman, yang mewakili Abdul Hakim, mengesahkan Hakim Mahkamah Pilihan Raya Melaka, Datuk Abu Bakar Katar, akan membuat keputusan itu pagi ini.
Terdahulu, Mas Ermieyati dilapor kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Tinggi Melaka menolak petisyen difailkan calon BN berkenaan, bagi menafikan kemenangan calon PN itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November tahun lalu, Mas Ermieyati mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Abdul Hakim, Mutalib Uthman (Muda) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).
Meraih majoriti 4,411 undi berbanding Abdul Hakim, Mas Ermieyati menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga.