Keputusan tutup sekolah bergantung kepada nasihat KKM – Fadhlina

Varian baharu Covid-19 sudah mula dikesan memasuki Malaysia, kebimbangan untuk tercetus semula penularan virus semakin meningkat apabila rakyat China sudah dibenar melancong semula tahun ini dan pada masa sama sekolah juga dibuka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa keputusan mengenai prosedur operasi standard (SOP) termasuk penutupan sekolah susulan penularan varian baharu Covid-19 adalah bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, setakat ini KKM belum mengeluarkan sebarang surat pekeliling kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk berbuat demikian.

“Itu antara fokus kita juga tetapi buat masa ini, kita akan bersama dengan KKM dan menurut sahaja apa yang dinasihatkan kementerian itu.

“Sekiranya KKM ada mengeluarkan surat pekeliling untuk berbuat demikian (penutupan sekolah), maka kita akan ikut saranan itu. Keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar menjadi keutamaan kami,” katanya kepada pemberita.

Fadhlina berkata demikian mengulas susulan penemuan varian baharu Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang sedang menular di China telah dikesan berada di negara ini.

BF.7 adalah singkatan untuk BA.5.2.1.7, berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan dunia pada Julai 2022.

Gejala varian baru ini dikatakan sama dengan varian lain, seperti hidung berair, batuk dan cirit-birit.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan bahawa varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China pada masa ini.

Beliau mengingatkan bahawa kedua-dua varian itu boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi.

Baca juga Jurulatih tampar pemain: Siasatan perlu dijalankan – Pemimpin wanita PH