Kerajaan akan selesaikan isu banjir termenung di Rantau Panjang

Kerajaan akan selesaikan isu banjir termenung di Rantau Panjang

Isu banjir termenung yang didakwa berpunca daripada pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) pada era Pas berada dalam Kerajaan Persekutuan beberapa tahun lalu tanpa penelitian rapi di Rantau Panjang, Kelantan dan menyebabkan kerugian besar kepada penduduk dalam banjir baru baru ini akan diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, pihak kementerian memandang serius isu banjir tersebut dan akan bertemu semua jabatan untuk mencari jalan penyelesaiannya.

“Dari awal saya dilantik sebagai Menteri, isu ini mula dibangkitkan ahli jawatankuasa bertindak, sekali gus menunjukkan keseriusan masalah yang perlu diberi perhatian oleh kementerian.

“Sebelum ini, saya bersama ahli Parlimen dan Exco negeri sudah membuat pertemuan bagi mendengar taklimat pembinaan PLSB Sungai Golok oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kontraktor yang berkenaan.

“Secara ringkas, projek ini diperlukan apabila ia sudah siap tetapi dalam tempoh pembinaan kita tidak mahu penduduk menjadi mangsa kerana kepentingan orang kampung juga perlu dijaga,” katanya.

Nik Nazmi semalam mengadakan lawatan kerja bertemu penduduk terjejas banjir di Kampung Tersang di Rantau Panjang.

Pada lawatan itu beliau sempat melawat kawasan pembinaan benteng PLSB Sungai Golok yang didakwa menjadi faktor utama bah serta banjir termenung di Rantau Panjang.

Beliau turut mendapat taklimat berkaitan kesan projek berkenaan daripada Penasihat Teknikal Jawatankuasa Banjir, Dr Mohd Yazid Abdullah selain mendengar pandangan oleh penduduk.

“Saya juga mendengar permintaan penduduk untuk membuka laluan air bagi mengelak berlaku banjir besar, dan semua permohonan akan diusulkan dalam perbincangan pada minggu ini.

“Saya berharap rakyat memberi ruang untuk saya membantu menyelesaikan masalah ini bersama agensi lain yang terbabit agar peristiwa banjir besar tempoh hari tidak berulang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, hampir 100,000 penduduk daripada 62 kampung di sini, kecewa dengan pembinaan PLSB Sungai Golok yang dianggap gagal.

Susulan itu, lebih 500 penduduk yang terjejas banjir disebabkan projek itu menyertai demonstrasi aman bagi menyuarakan bantahan dan rayuan berhubung nasib mereka akibat bencana yang berlaku selepas pembinaan benteng terbabit pada 13 Januari lalu.

BACA JUGA PKR Selangor teliti, perbaiki kelemahan PRU 15 menjelang PRN

COMMENTS

Wordpress (0)