
Kerajaan akui naungan politik dalam perjudian dalam talian
Kerajaan mengakui kewujudan naungan politik yang melindungi perjudian dalam talian bagi memastikan pihak terbabit tidak dapat dikenakan tindakan undang-undang.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan ia sedemikian kerana penyedia platform perjudian boleh mendapat keuntungan sehingga RM200 juta seminggu.
“Memang wujud elemen ‘naungan politik’, ada, dan dari situ datangnya perlindungan.
“Pemain (penyedia operasi Judi) dinaungi. Balasannya supaya tindakan tidak diambil, mereka bocorkan maklumat jika ada operasi.
“Peringkat polis ini perlu kepada perhatian berat…Sama ada wujud naungan politik orang tertentu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan R Ramanan (PH- Sungai Buloh) di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Saifuddin turut berkata bahawa kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Bank Negara (BNM) untuk mengekang masalah judi.
Beliau turut mengakui keterbatasan undang – undang yang tidak merangkumi perjudian dalam talian.
“Undang-undang kita ada dua saja, satu Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953… Akta tahun 1953 tidak pernah dipinda.
“Bila bawa ke mahkamah ‘judi online’ tiada dalam akta…Undang-undang yang lama itu kita perlu lakukan pindaan,” katanya lagi.