
Kerajaan benar pengusaha restoran beli beras import harga borong daripada Bernas
Kerajaan akan memberikan lesen borong kepada pengusaha restoran supaya mereka boleh membeli beras putih import (BPI) pada harga borong RM3.20 sekilo daripada Padiberas Nasional Bhd (BERNAS).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu sebagai usaha jangka pendek kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan beras putih tempatan (BPT) susulan pengguna kurang membeli BPI kerana harganya yang meningkat.
Setiausaha Akhbar kepada Mohamad, Adeysham Nor, berkata persatuan pengusaha restoran perlu mengemukakan permohonan kepada KPKM untuk mendapatkan lesen borong terbabit.
Beliau memaklumkan sebelum ini, harga BPI jenis standard adalah sekitar RM2.80 hingga RM3.20 per kilogram (kg), iaitu tidak banyak berbeza dengan harga BPT.
Namun, pengusaha mula beralih kepada BPT selepas BERNAS membuat pelarasan harga menjadi RM3,200 satu tan (RM3.20 sekilogram) menyebabkan kenaikan mendadak permintaan terhadap beras jenis itu dan membawa kepada kekurangan bekalannya dalam pasaran.
Menurutnya, kaedah terbaik untuk membantu setiap ahli persatuan mendapatkan bekalan import pada harga borong antara perkara yang dibincangkan dalam sesi libat urus KPKM bersama persatuan peniaga, termasuk pengusaha restoran, mamak, kedai tomyam dan lain-lain pada 15 September lalu.
“Pada sesi itu, KPKM membenarkan pemberian lesen borong kepada pengusaha terbabit. Kita sedang tunggu persatuan memohon lesen itu.
“Setakat ini, mereka belum memohon lagi,” katanya, lapor BH, hari ini.
Dalam masa sama, Adeysham memberitahu, kementerian juga sudah diarahkan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengkaji penggunaan BPI oleh pembekal tender kerajaan, seperti untuk kem tentera dan sekolah.
“Menteri juga telah mengarahkan pegawai untuk mengkaji jumlah subsidi yang perlu dikeluarkan jika kerajaan ingin mensubsidi BPI.
“Pada masa sama, pengilang turut diminta membekalkan 20 peratus stok beras mereka kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk dipasarkan terus ke kawasan luar bandar bagi membantu golongan B40,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Menjawab isu dakwaan beras naik harga: Ini penjelasan pegawai menteri