Kerajaan kaji dasar gaji progresif, tingkat kadar pendapatan pekerja – Rafizi

Kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di negara ini selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) supaya nisbah hasil ekonomi diberikan kepada pekerja.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata proses perbincangan dan libat urus mengenai perkara itu telah bermula dengan pelbagai sektor.

Beliau memberitahu kerajaan mahu kadar gaji dan pampasan meningkat dari paras semasa iaitu sekitar 36 peratus kepada 40 peratus.

“Kita akan bawa perbincangan ini dalam forum kerajaan yang sewajarnya dalam masa yang ditetapkan nanti,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian UK-Malaysia Clean Growth Handbook di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi berkata kerajaan ingin memastikan kerangka dasar tersebut dapat dilaksanakan secara positif oleh semua pihak serta manfaatnya bukan hanya kepada pekerja malah kepada majikan.

Rafizi berkata dasar gaji prosesif adalah suatu perkara yang kerajaan lihat secara serius supaya dapat dibangunkan secara meluas dengan kerjasama antara Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, MITI dan Kementerian Sumber Manusia

Katanya perkara ini akan dibawa secara berperingkat untuk pertimbangan kerajaan.

“Selama ini kalau tengok dari segi peralihan untuk menjaga pekerja ini, kita mula dengan gaji minimum, ia telah berlaku dan ia ada cabarannya dan sekarang kita sedang bergerak ke arah gaji progresif.

“Cuma perkara ini perlu dibincangkan secara menyeluruh bukan saja dasar, kita perlu menyeimbangkan kehendak kerajaan dan ekonomi supaya gaji naik secara berkala dan juga kemampuan syarikat-syarikat kita.

“Sebab kalau tidak hati-hati ia akan beri kesan negatif kepada syarikat-syarikat, anda juga tidak mahu gaji dinaikkan tapi syarikat gulung tikar,” katanya.

BACA JUGA: Mesin layan diri IPR diperluas, bantu B40 tambah pendapatan sehingga RM2,000