Kerajaan kaji semula pendekatan tangani masalah dadah

Kerajaan kaji semula pendekatan tangani masalah dadah

Kerajaan akan mengkaji semula pendekatan terhadap masalah dadah selaras dengan perkembangan antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan melihat penyalahgunaan dadah bukan sahaja sebagai isu jenayah, tetapi isu kesihatan yang memberikan kesan kepada masyarakat daripada segi ekonomi, kesihatan, dan sosial.

Katanya, kerajaan berhasrat untuk menggabungkan usaha semua pihak termasuk agensi kerajaan, golongan pakar dan masyarakat sivil dalam usaha untuk mencari penyelesaian yang lebih berkesan demi masyarakat Madani yang sihat daripada semua aspek.

“Sempena usaha Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) dalam merangka satu tindakan holistik bagi mengatasi masalah itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) bersama agensi berkaitan akan menjalankan kajian undang-undang.

“Ia adalah berkaitan hukuman kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah daripada perspektif berbeza iaitu dengan merujuk kepada keberkesanan pendekatan berasaskan rawatan perubatan atau secara rehabilitasi yang digunakan oleh negara-negara lain dan mengkaji kebolehlaksanaan pendekatan tersebut di Malaysia.

“Kerajaan Perpaduan komited untuk memelihara kepentingan golongan-golongan berisiko tinggi dalam perkara ini, seperti golongan terdedah, golongan miskin serta kumpulan belia yang mudah dipengaruhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Azalina, Kementerian Dalam Negeri, Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan badan-badan bukan kerajaan sudah melakukan usaha yang terbaik dalam menangani isu ini.

Bagaimanapun, katanya, masalah tersebut tidak dapat diselesaikan dengan berkesan dan seterusnya menjadi punca kepada isu sistemik lain seperti kesesakan penjara dan sistem keadilan jenayah yang terbeban.

Terdahulu, Azalina mempengerusikan Sesi Perbincangan Kajian Undang-Undang Berhubung Hukuman Mengenai Kesalahan Penyalahgunaan Dadah.

Sesi berkenaan diadakan bersama wakil daripada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia, ahli-ahli akademik serta wakil dari organisasi masyarakat sivil.

Beliau berkata, perbincangan itu bagi membincangkan dan mendapatkan pandangan awal mengenai keperluan kajian undang-undang berhubung hukuman kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Sesi libat urus lanjutan berkaitan perkara ini termasuk perbincangan kumpulan berfokus akan dikendalikan oleh Timbalan Menteri Undang-Undang (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),” kata beliau lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)