
Kerajaan Kedah pimpinan PN perlu komited permudah pelaburan masuk
Kerajaan negeri Kedah yang diterajui Perikatan Nasional perlu komited dalam mempermudahkan urusan pelaburan masuk ke negeri tersebut, kata ketua penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Ini ekoran pembatalan projek yang bernilai RM 3 bilion di Kedah Rubber City oleh Hong Seng Consolidated Berhad.
Syarikat tersebut merupakan antara pelabur terawal yang membeli tanah seluas 42.49 hektar bernilai RM45.74 juta pada tahun 2020.
“UMNO Kedah memandang serius perkembangan ini dan berpendapat kerajaan negeri dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) harus meneliti rundingan semula mengenai perjanjian awal projek pembinaan kilang pembuatan lateks nitrile butadiene latex (NBL) kononnya bagi meneroka penggunaan alternatif tanah itu.
“Keputusan mengenai penggunaan alternatif tanah itu harus dibuat secara teliti dan telus bagi mengelakkan kerugian bagi pihak KRC dan rakyat negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan.
“UMNO Kedah berpandangan keputusan yang mengejutkan ini juga berpunca daripada kegagalan dan kelembapan pihak berkuasa tempatan mengurus keperluan tertentu terutamanya perihal pengambilalihan tanah tertentu yang sememangnya menjadi faktor kritikal bagi pembangunan KRC.
“Secara tidak sedar, kegagalan pelaburan ini akan menyebabkan hilangnya lebih 3,000 potensi peluang pekerjaan untuk rakyat Kedah,” katanya.
Media sebelum ini, melaporkan Hong Seng Consolidated Berhad membatalkan projek bernilai RM3 bilion untuk membina kilang kilang pembuatan lateks butadiena nitri di KRC.