Kerajaan pastikan subsidi bersasar, perkukuh industri air

Cabaran bagi Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah untuk memastikan rakyat mendapat subsidi bersasar bagi bekalan keperluan asas.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad tekad itu akan cuba dilaksanakan oleh kementeriannya dalam merangka dasar bagi 2023 dan seterusnya.

“Kalau kita bercakap cabaran bagi rakyat, ia bukan hanya B40 tetapi merentas M40 yang bermakna ekoran ekonomi dunia kembali terbuka selepas pendemik Covid dan perang Ukraine – Rusia, ia memberi kesan kepada harga bahan api dan sebagainya.

“Ia beri kesan inflasi dan kita dapat lihat harga gas dan arang batu (tinggi), dua sumber utama penjanaan elektrik di negara kita terkesan. Selain kesan kenaikan harga barang dan sebagainya.

“Mahu tidak mahu antara fokus kita ialah pendekatan kerajaan selama ini, subsidi bersifat pukal semua dapat kita ubah untuk memastikan kalau tidak golongan M40, sekurang kurangnya B40 dapat kita lindungi. Kita bergerak kepada subsidi bersasar, iaitu sepatutnya dinikmati orang paling memerlukan,” katanya dalam temuramah bersama stesen radio nasional FM pagi ini.

Nik Nazmi mengambil contoh tindakan Kerajaan Selangor yang memikirkan semua polisi subsidi pukal kepada bekalan air di negeri itu sejak 2008 dan menggubal polisi baharu yang mensasarkan air percuma 20 meter padu hanya kepada golongan B40 sahaja .

Begitu juga katanya, polisi di peringkat Persekutuan yang mana mekanisme imbalance cost pass-through (ICPT) yang disemak 6 bulan sekali telah memperincikan subsidi tidak lagi diberikan kepada syarikat besar sebaliknya menumpukan kepada industri kecil dan sederhana selain pengguna domestik.

Bagi industri air pula, ujar Nik Nazmi, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi. Termasuklah Kerajaan Negeri masih ada kuasa agak besar ke atas industri berkenaan dan Kerajaan Persekutuan perlu memperbaiki insfrastruktur industri berkenaan dalam masa sama.

“Kita ada masalah bekalan air, kadang kadang berkarat, warna tidak sesuai. Sebab itu antara 4 fokus Inisiatif 2040 ini untuk memastikan bekalan air dan sumber pengurusan dan mencukupi. Mahu tidak mahu kita kena ada kemampanan kewangan syarikat air, kalau mereka tidak mampu sustain maka akan ada masalah. Itu telah pun kita saksikan ada syarikat air berhutang ratusan juta dengan TNB dan menjadikan masalah besar.

“Ketiga kecekapan industri air. Masalah air tidak berhasil, bocor, dicuri dan tidak dapat dibilkan. Ada negeri sehingga 60%. Kita boleh bandingkan seriusnya masalah ini,” katanya lagi.

Selain itu, menurt Nik Nazmi soal ketahanan iklim seperti banjir, hakisan dan kenaikan paras air laut yang akan menyebabkan bandar bandar pesisir pantai akan tenggelam menjelang 2050 turut perlu diambil kira dan merupakan cabaran kepada industri air untuk kekal kompetitif.

BACA JUGA Kempen Penurunan Harga 1000 Barangan dilancarkan tanpa penambahan kos kepada kerajaan