Kerajaan Perpaduan mampu kekal kestabilan politik di Melaka – Pemuda PH

Pemuda PH Melaka berpendapat keputusan kerjasama dengan BN untuk membentuk Kerajaan Perpaduan mampu mengekalkan kestabilan politik negeri itu.

MOHAMAD KHOMEINI

Ketua Pemuda AMANAH negeri, Mohamad Khomeini Kamal berkata, langkah kerjasama Kerajaan Perpaduan Melaka wajar diambil bagi menterjemahkan lagi usaha yang dilakukan di peringkat pusat.

“Pemuda AMANAH menyambut baik kenyataan hasrat menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

“Ini kerana ia dapat menjamin kestabilan politik negeri seterusnya dapat bersama memberi fokus membantu membangunkan ekonomi rakyat di negeri ini.

“Diharap, pengumuman Kerajaan Perpaduan (Melaka) yang dinyatakan oleh Presiden Umno, haruslah dilaksanakan segera dan dilibatkan semua komponen parti yang ada dalam Kerajaan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau mengulas mengenai usaha Kerajaan Perpaduan di negeri Melaka yang diumumkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Sementara itu, Ketua AMK Melaka, Muhammad Ridhuan Abu Samah berkata, langkah di negeri itu wajar dijadikan contoh pembentukan Kerajaan Perpaduan negeri lain.

“Selari dengan Malaysia Madani, langkah yang diambil negeri Melaka tepat dengan saranan Perdana Menteri yang tidak mahu perpaduan ini di atas kertas sahaja,” ujarnya lagi.

MUHAMAD RIDHUAN

Mengenai perkembangan semasa hubungan PH dan BN negeri, Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya berkata kerjasama melibatkan program lapangan masih dalam perbincangan.

“Setakat ini, kita ada buat perbincangan untuk melakukan kegiatan bersama seperti bantuan sukarelawan banjir di Johor atas nama Pemuda Madani di peringkat pusat,” ujarnya.

Dalam pada itu, dilaporkan, Ketua Pemuda UMNO Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh terbuka dengan cadangan supaya BN Melaka membuka pintu kerjasama dengan PH untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri itu bukannya mustahil untuk dilaksanakan jika semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing.

Petang tadi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu sekali gus memberi laluan kepada pembukaan pintu kerjasama Kerajaan Perpaduan ‘Negeri Bersejarah’ itu mampu direalisasikan.