Kerajaan Perpaduan perkasa ekonomi anak muda

Peruntukan RM388.1 bilion yang disalurkan oleh Perdana Menteri dalam Pembentangan Belanjawan 2023, nyata memberi impak pada potensi anak muda.

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan Mohd Hanis Alimin, menyambut baik usaha Kerajaan Perpaduan dalam memperkasakan ekonomi golongan belia.

“Pemuda AMANAH menyambut baik pembentangan Malaysia Madani yang dilihat sangat inklusif dan menyeluruh kepada anak muda.

“Contohnya, kerajaan menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing dapat memudahkan mereka untuk terlibat dalam ekonomi gig, sekali gus ia juga menjamin keselamatan mereka sewaktu bekerja,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, baru-baru ini.

Banyak peruntukan disediakan untuk membantu anak muda menangani kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Hanis yang juga merupakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri juga menyifatkan golongan usahawan mikro, wanita dan belia menikmati banyak manfaat melalui tabung pinjaman bernilai RM1.7 bilion yang disediakan kerajaan.

“Kerajaan memperuntukkan RM300 juta dan tabung pinjaman melibatkan agensi Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga), BNM (Bank Negara Malaysia) dan BSN (Bank Simpanan Nasional).

“Pemberian pinjaman RM10 juta untuk menampung kos pembelian motosikal bagi perkhidmatan penghantaran amat bermanfaat buat golongan muda yang ingin memulakan kehidupan ekonomi,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan inisiatif kerajaan yang memberi bantuan terus RM200 kepada golongan belia.

Hal ini kerana, ujarnya, peruntukan RM400 juta itu mampu merangsang ekonomi negara ke arah era digitalisasi sekali gus dapat mengimbangi penggunaan wang tunai.

“Inisiatif kerajaan untuk memberikan RM200 e-Tunai Rahmah kepada belia berumur 18 hingga 21 tahun, menunjukkan kerajaan mengalakkan rakyat untuk mula menggunakan sistem pembayaran tanpa wang tunai.

“Inisiatif e-tunai kepada golongan ‘mesra gajet’ itu mampu memberikan keseimbangan ekonomi dalam jangka pendek dan panjang,” jelasnya lagi.

Pada 28 Februari lalu, Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan menegaskan bahawa agihan peruntukan dalam Belanjawan 2023 adalah selaras dengan prinsip Madani yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

BACA JUGA Pemuda Amanah Negeri Sembilan menyambut baik pemerkasaan syiar Islam