Kerajaan Perpaduan tanggung beban keputusan dasar kerajaan terdahulu

Kerajaan Perpaduan menanggung beban kerana keputusan dasar kerajaan terdahulu yang salah berkaitan dengan keterjaminan makanan, dakwa Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh.

Ini berlaku meskipun ahli parlimen berbahas berkenaan isu ini selama lebih sedekad. Perkara ini membebankan kerajaan kini, kata beliau ketika menjawab soalan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjung Karang-PN) berkaitan Tahap Sara Diri (SSL) daging lembu berbeza dari ayam.

Beliau turut menyoal samada kewujudan kartel menjadi batu penghalang kepada kerajaan untuk meningkatkan SSL daging lembu.

“Selama ini seingat saya, lebih serdekad kita bercakap tentang keterjaminan makanan. Keterjaminan makanan ini satu isu yang besar bukan isu remeh

“Tapi kerajaan hari ini terpaksa menanggung liabiliti keputusan-keputusan dasar yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

“Ini adalah beban besar ke atas Kerajaan Perpaduan pada hari ini namun kita komited dan akan berikan yang terbaik untuk rakyat,” katanya semasa menjawab soalan lisan.

Sementara itu, mengulas soalan berkaitan kenaikan harga daging-daging penternakan seperti ayam dan khinzir, Fuziah memaklumkan satu sekretariat khas telah ditubuhkan antara dua kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.

Kedua-dua sekretariat ini katanya bertanggungjawab berbincang dan memastikan bahawa harga daging dapat dikawal kerana ada banyak faktor luaran seperti makanan haiwan yang menjadi penentu kepada harga daging itu sendiri.

MENYUSUL LAGI