
Kerajaan Pusat cadang henti bayaran EFT jika Kelantan masih mahu ubah KSAS
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bercadang untuk menghentikan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada Kelantan jika masih mahu meneruskan cadangan pengubahan Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
Menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan kerajaan negeri itu tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan-kerajaan Negeri yang diperkenalkan pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.
”Setakat ini, lebih RM29 juta telah diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dari 2019 hingga 2023, manakala jumlah peruntukan EFT mengikut tahun adalah RM5.81 juta bagi 2019, RM5.93 juta (2020), RM5.93 juta (2021) dan RM11.47 juta (2023).
”Di bawah Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menaikkan jumlah peruntukan EFT untuk seluruh negara dari RM150 juta setahun (2023) ke RM200 juta (2024). Sebelum itu, EFT adalah RM70 juta setahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Banyak kawasan hutan simpan di Kelantan ditarah secara besar-besaran seperti yang dilihat dalam tinjauan NGO KUASA pada 2019 ini.
Oleh itu, jelasnya, kerajaan negeri Kelantan sepatutnya memanfaatkan peruntukan EFT yang telah disediakan dengan melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi.
Dalam pada itu, Nik Nazmi menyifatkan cadangan perubahan Pelan Pembangunan yang melibatkan pengubahsuaian KSAS di Kelantan juga akan menjejaskan usaha-usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi dan tidak selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK 2022-2030) yang baru dilancarkan pada 24 Oktober lalu.
Katanya, di bawah DKBK 2022-2030, telah digariskan keperluan untuk mengukuhkan perlindungan kawasan penting kepelbagaian biologi sebagai KSAS dalam Pelan Pembangunan di peringkat negeri dan juga tempatan.
”Ia turut menjejaskan sasaran negara untuk meningkatkan peratusan kawasan perlindungan (protected areas) bagi memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi.
”Selain itu, pengubahsuaian KSAS juga akan memberi impak kepada komitmen Malaysia terhadap Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil, pada tahun 1992, yang beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan dicapai,” jelas beliau lagi.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berharap Kerajaan Negeri Kelantan menimbang semula cadangan pengubahan Rancangan Pemajuan melibatkan KSAS di negeri tersebut dan bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan melalui NRECC untuk mengukuhkan pengurusan kepelbagaian biologi negara.
BACA JUGA Kelantan mahu hutan simpanan kekal tak lagi sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar