Kerajaan usaha bincang selaras harga belian benih padi – Mat Sabu

Kerajaan usaha bincang selaras harga belian benih padi – Mat Sabu

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian tentang penyelarasan harga Benih Padi Sah (BPS) yang sesuai.

Beliau berkata, kajian untuk mengimbangi harga belian dan harga benih padi akan dilakukan supaya semua pihak ‘menang-menang’ dalam isu tersebut.

“Bagi langkah jangka panjang, kerajaan akan melaksanakan kajian untuk mengimbangi harga belian padi dan harga benih padi ini.

“Kita akan bincang dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNSH), tentang penyelarasan harga yang sesuai bagi semua pihak pada masa akan datang.

“Sebab semua kena menang. Pesawah kena menang, pemborong kena menang, peruncit kena menang, pengguna pun kena menang.

“Ini perbincangan perlu dibuat secara lebih tersusun supaya semua pihak mendapat faedah nanti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Mohamad berkata kerajaan akan berusaha mewujudkan simpanan stok bagi BPS iaitu 500,000 kampit sekiranya berlaku sebarang pengurangan bekalan beras.

Beliau juga memberi jaminan akan memastikan simpanan stok BPS mencukupi sebelum musim penanaman bermula.

“In Shaa Allah benih cukup, pengedaran akan sampai sebelum tarikh akhir penanaman padi. Ini saya beri jaminan. Kalau tak cukup pada tarikh akhir penanaman padi, jumpa saya. Di luar pun boleh, di dalam pun boleh,” katanya.

Berhubung aduan pesawah dan peladang berkenaan isu peruncit yang menjual benih padi melebihi RM45 sekampit 20 kilogram seperti mana yang ditetapkan, Mohamad berkata telah mengambil tindakan serta-merta dengan menarik semula lesen penjualan BPS

Setakat 8 November lalu, sebanyak 20 peruncit yang menjual BPS melebihi harga RM45 yang ditetapkan kerajaan ditarik lesen serta-merta dan tidak dibenarkan menjual BPS kepada pesawah.

BACA JUGA Fitnah Siti Mastura lambang buruknya akhlak kader Pas

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )