Kerjasama PH, BN: Agihan kerusi PRN dijangka diumum hujung Mac

Sekretariat Kerajaan Perpaduan dijangka mengumumkan hasil rundingan agihan kerusi antara parti dalam gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum hujung Mac ini.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, perkara itu mungkin diumumkan lebih awal kerana rundingan secara tidak rasmi mengenai pembahagian kerusi di enam negeri yang bakal mengadakan PRN sudah berlangsung agak lama.

“Seperti Datuk Seri Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PH) sebut kita ada proses dan proses itu sedang berjalan dan saya rasa ianya akan dimuktamadkan oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk beberapa minggu lalu.

“Mungkin sebelum hujung bulan ataupun lebih awal Mac kecuali ada beberapa kemungkinan yang kita tak jangkakan tidak semestinya semua negeri diumumkan serentak,” kata Ketua Penerangan PKR kepada media selepas merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor di Kelana Jaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar.

Pemimpin PKR pada Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor di Kelana Jaya pada 26 Februari 2023. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH/HARAPAN DAILY

Pada 22 Februari lepas, Menteri Besar dan Ketua Menteri dari enam negeri tersebut mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor berkata kesepakatan itu dicapai ketika sesi minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 baru-baru ini.

Selain Selangor, negeri yang terlibat PRN ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PH menyasarkan untuk mempertahankan kubunya di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. PRN ini merupakan kali pertama PH bakal bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU-15.

Menurut Fahmi berkemungkinan ada sesetengah negeri akan diumumkan lebih awal namun segala pengumuman rasmi akan dilakukan oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Tambanya satu Konvensyen Pilihan Raya Khas yang bakal diadakan pada 18 Mac depan akan digunakan sebagai platform untuk pimpinan menyampaikan pengumuman penting mengenai PRN.

“Pada waktu itu (18 Mac) saya percaya pimpinan akan sampaikan apa-apa amanat, pandangan dan rencana khusus berhubung enam PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.