Kerjasama terjalin antara PH, BN tanda kemenangan awal PRN di Selangor
Kerjasama yang dijalin antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor merupakan kemenangan awal sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerjasama antara PH dan BN di Selangor pada PRN akan datang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Inilah nilai yang ada dalam parti-parti Kerajaan Perpaduan apabila kesemua pihak mengambil jalan tengah dan meredakan ketegangan politik untuk memastikan rakyat Malaysia tidak terpalit dengan masalah.
“Berbeza dengan pihak lawan, mereka (PN) sentiasa mencatur kedudukan politik sehingga rakyat menerima tempias yang buruk sekali,” katanya memetik laporan SelangorToday.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Gombak berkata demikian pada majlis Moreh Perpaduan Gombak anjuran PKR Cabang Gombak di La Hacienda, Gombak, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua AMANAH Gombak A. Yazid Alias, Ketua Penerangan UMNO Gombak, Prof. Datuk Dr Mohd Zainul Fithri Othman serta pimpinan PH dan UMNO Gombak.
Amirudin berkata PN akan sentiasa menggunakan naratif kaum dan agama sehingga mampu menjadi senjata utama untuk meraih sokongan pengundi.
“PN sentiasa menggunakan sentimen agama dan kaum bagi mendapat laba daripada pengundi.
“Sedangkan rakyat Selangor telah menjadi pengundi yang rasional untuk memilih pemimpin atas merit dan keupayaan calon-calon yang bertanding,” katanya.
Menurutnya, PN sedang bertempur sesama sendiri bagi memastikan parti masing-masing mendapat kerusi terbanyak untuk ditandingi.
Tambahnya PH dan BN pula saling bertoleransi dalam soal pembahagian kerusi serta terbuka menerima keputusan pimpinan yang bakal bergerak sebagai satu pasukan.
Sementara itu, A. Yazid menyatakan perjumpaan itu merupakan titik tolak kepada langkah seterusnya dengan adanya kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi khususnya di kawasan Daerah Mengundi.
“Pentingnya untuk semua pimpinan kerap berjumpa dan bermusyawarah bagi mendepani PRN akan datang yang pastinya mencabar daripada segi berhadapan dengan asakan pihak lawan serta kesepaduan antara parti yang perlu dijadikan imej besar kepada pengundi.
“Sayap-sayap parti juga perlu menjadi tunjang utama pergerakan jentera pilihan raya mulai sekarang,” ujarnya.
BACA JUGA: PRN Selangor: Wanita PKR mahu kuota 30 peratus calon dipenuhi
Â