Kertas Putih vaksin: Selangor alu-alukan keputusan Kabinet, siasat terperinci

Exco kesihatan awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud mengalu-alukan keputusan kerajaan mengarahkan agar disediakan satu Kertas Putih berkaitan perolehan vaksin Covid-19.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tentu mempunyai asas yang kukuh hingga memperlukan satu penjelasan terperinci berhubung perkara itu.

“Saya alu-alukan, jadi saya pasti ada satu proses enkuiri bila diadakan Kertas Putih ini. Bila kita buka Kertas Putih ada peluang untuk mendapatkan penjelasan.

“PM mesti ada asas untuk mengarahkan satu Kertas Putih, ia boleh membersihkan mana-mana individu daripada sangka buruk atau tuduhan,’ katanya ketika dihubungi Harapan Daily pada Jumaat.

Siti Mariah (gambar utama) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang berkata apabila timbul keraguan dan banyak perkara yang dibangkitkan, maka satu siasatan terperinci perlu dilakukan kerana ia melibatkan wang rakyat.

Lagipun kata beliau perolehan vaksin tersebut dilakukan ketika darurat dan ia melibatkan kuasa Perdana Menteri selain berada di bawah penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Saya tidak pasti adakah ada jawatankuasa yang dibentuk untuk mengadakan mesyuarat bersama atau hanya ada individu seorang sahaja (buat keputusan),” katanya.

Bagaimanapun, jelas Siti Mariah pengumuman mengenai Kertas Putih itu bukan suatu perkara yang mencemaskan.

“Ia sama juga dengan hal lain jika ada timbul pertikaian. Jadi tak perlu takut kalau tidak ada salah laku

“Kalau ada kelemahan atau kesalahan yang disengaja atau tidak sengaja perlu ada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Mariah berkata semua perolehan vaksin yang dibuat oleh kerajaan negeri dibuat selepas mendapat kelulusan mesyuarat Exco.

“Kita bentang dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, berapa jumlah vaskin hendak dibeli, jadi semua perlu kelulusan mesyuarat Exco.

“Selepas itu kita ada syarikat kerajaan negeri Selgate untuk membuat pembelian vaksin,” katanya.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri memulakan inisiatif pemberian vaksin kerana pekerja-pekerja asing kerana bimbang kes Covid-19 merebak.

“Kita beli dahulu kemudian dijual kepada para majikan. Bagi rakyat Selangor kita beri percuma,” katanya sambil tambahnya selepas itu barulah kerajaan Pusat memberikan vaksin kepada pekerja industri.

Laporan media sebelum ini memetik Siti Mariah sebagai berkata kerajaan negeri mengumumkan sebanyak 2.5 juta dos vaksin Covid-19 telah dibeli menerusi Selgate Corporation bagi membantu hampir sejuta golongan pekerja yang menyumbang kepada 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Katanya sekiranya kerajaan negeri mengambil sikap menunggu semua vaksin diberikan secara percuma daripada kerajaan Pusat, ia dibimbangi akan mengakibatkan sektor ekonomi negara menjadi lumpuh.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Hospital Pakar KPJ Tawakal Kuala Lumpur pada 11 November 2021. Foto PDRM

Terdahulu Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan hari ini berkata, kementerian telah menubuhkan pasukan kerja merangka Kertas Putih susulan keputusan Kabinet pada 18 Januari lalu untuk memberi gambaran komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin Covid-19.

Katanya kertas putih itu akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat secara keseluruhan.

Katanya ini berikutan penemuan awal pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM yang menjalankan due diligence terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin Covid-19 yang ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat.

Sebelum ini menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin ketika itu, kerajaan berjaya mengurangkan perbelanjaan pembelian vaksin sebanyak hampir RM1 billion daripada enam syarikat pengeluar vaksin Covid-19.

Katanya kerajaan memberi komitmen belanja RM2.05 bilion untuk keseluruhan perjanjian bersama COVAX, Pfizer, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan The Gamaleya Institute.

BACA JUGA: Gadis Inspirasi Selangor mampu sebar mesej positif kerajaan