
Kerusi blok pembangkang kosong, semua tidak hadir sidang pagi
Kerusi ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat hampir kesemuanya kosong pagi tadi selepas tiada seorang pun hadir semasa sidang berlangsung.
Tempat duduk blok itu kosong sehingga 11.30 pagi tadi.
Beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dilihat memasuki Dewan selepas hampir dua jam Dewan bersidang.
Perkara itu menimbulkan sedikit kekecohan daripada kalangan ahli Parlimen kerajaan yang mempertikai tindakan pembangkang berbuat demikian
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) menyelar sikap pembangkang kerana gagal hadir pada sesi itu.
“Bukan ramai tidak hadir Speaker, seorang pembangkang pun tidak ada hari ini. Inilah ‘peel’ (perangai) pembangkang,” katanya disambut sorakan dari blok kerajaan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum itu membuka peluang untuk 3 soalan tambahan berikutan soalan dikemukakan ahli Parlimen pembangkang tidak akan dijawab pada sesi itu susulan kegagalan mereka hadir.
“Sebelum menteri jawab, oleh kerana kita dapati ramai ahli Parlimen tidak hadir, saya akan buka peluang kepada setiap soalan yang dijawab ini, untuk tiga soalan tambahan,” katanya
Difahamkan ahli Parlimen pembangkang menghadiri Himpunan Selamatkan Syariah di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.
BACA JUGA Masyarakat luar kagum kepimpinan Anwar, puji PM terbaik