Kerusi Kota Anggerik, Batu Tiga diyakini kekal milik PH

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Batu Tiga yang terletak di bawah Parlimen Shah Alam diyakini akan dapat terus dikuasai oleh PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berkata perkiraan itu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan PH mencapai kemenangan besar di kawasan Parlimen membabitkan kedua-dua kerusi DUN tersebut.

Beliau berkata prestasi kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Perpaduan yang menjadikan isu rakyat sebagai keutamaan berjaya menarik rakyat untuk kekal bersama PH.

“Perasaan dan penerimaan masyarakat terhadap PH masih lagi tinggi selaras dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh kerajaan negeri (Selangor) dan Kerajaan Perpaduan.

“Tiada penolakan akan berlaku terhadap PH kerana mereka (pengundi) menerimanya dan berasa selesa dengan kerajaan sekarang,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Najwan (kanan) bersama wakil-wakil penduduk Blok 52, Flat PKNS Seksyen 7, Shah Alam meninjau keadaan beberapa tangki air mengalami kebocoran pada 5 Februari 2023. Foto FB Najwan Halimi

Najwan yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Shah Alam berkata persediaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah dilakukan sejak 2022 ketika sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama bagi Cabang Shah Alam.

“PKR telah memulakan gerak kerja pilihan raya sejak tahun lalu untuk menghadapi PRU. Kita (PKR) memang sudah aktifkan jentera parti di peringkat Cabang dan di DUN.

“Hampir setiap minggu kita adakan program di lapangan melibatkan peringkat Cabang sebagai persiapan jentera untuk menghadapi PRN,” katanya.

Pada masa sama, Najwan berkata bahawa tugasannya sebagai wakil rakyat ketika ini banyak diluangkan untuk menyantuni rakyat melalui program inisiatif kerajaan negeri dan kerja keras yang dilakukannya itu adalah sama seperti situasi pada hari berkempen.

Pada PRU14, Najwan yang juga calon baharu PKR menang di kerusi DUN Kota Anggerik dengan majoriti 17,004 undi apabila meraih 26,947 undi sekali gus menumpaskan Jumaeah Masdi (BN) yang memperolehi undi 8,924 manakala Ahmad Dusuki Abd Rani (PAS) memperoleh 9,943 undi.

Sementara itu, di kerusi DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail yang juga Exco kerajaan negeri dan Ketua Cabang PKR Shah Alam menang dengan majoriti 15,616 undi apabila memperoleh 27,638 undi.

Beliau mengalahkan calon BN, Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akob (12,022 undi) dan calon PAS Abdul Halim Omar (7,793 undi).

BACA JUGA: Pertandingan 2 penjuru dalam PRN di 6 negeri