Kes dua beradik maut kena renjatan elektrik ke Peguam Negara

Laporan siasatan Suruhanjaya Tenaga (ST) berhubung kejadian renjatan elektrik mengorbankan dua adik beradik lelaki di Bangi, 30 September tahun lalu telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menghantar laporan penuh itu selepas melengkapkan siasatan kes berkenaan mengikut Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

“Jika disabitkan kesalahan, denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap pihak yang bersalah,” menurut kenyataan itu.

Dalam insiden di Jalan Sungai Merab, Kampung Ternas Jernang, Bangi, Adam Harish Zamri, 10, terkena renjatan semasa memegang tiang besi ampaian kain yang bersambung dengan bumbung zink rumah yang bertenaga manakala adiknya, Adam Haziq, 9, turut maut terkena renjatan ketika cuba menyelamatkan abangnya.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai mandi dalam kolah di pekarangan rumah mereka.

Dalam pada itu, ST mengingatkan mana-mana pemilik rumah supaya tidak membuat sebarang pengubahsuaian rumah atau melakukan penambahan struktur rumah sehingga mengganggu laluan sesalur atas voltan rendah (SAVR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau pepasangan seperti meter, tiang dan lain-lain.

“Pemilik rumah perlu membuat permohonan kepada pihak TNB untuk mengalihkan pepasangan elektrik tersebut.

“Orang awam yang menjalankan aktiviti selain kerja elektrik berhampiran pepasangan elektrik sehingga menyebabkan gangguan bekalan atau kerosakan kepada harta benda boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Subseksyen 33(D) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000,” katanya. – BERNAMA