Kesan Malaysia sokong Palestin dibincang di Parlimen hari ini

Kesan Malaysia sokong Palestin dibincang di Parlimen hari ini

Serangan berterusan rejim tentera Zionis Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan lawatan kerja ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubung serangan Israel itu.

“Apakah bentuk ancaman yang diterima oleh Malaysia daripada negara-negara Barat yang menyokong Israel susulan atas pendirian Malaysia terhadap Palestin?

“Apakah langkah-langkah yang bakal diambil oleh Malaysia bagi menghadapi segala ancaman ini supaya tidak memberi kesan besar terhadap rakyat dan ekonomi negara,” dipetik dari aturan mesyuarat hari ini di laman sesawang Parlimen.

Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) pula bertanyakan kepada Menteri Ekonomi berkenaan peratusan pemilikan ekuiti oleh Bumiputera antara tahun 2010 hingga 2022.

Turut ditanyakan faktor-faktor kegagalan pemilikan ekuiti oleh Bumiputera di negara ini yang masih belum mencapai sasaran 30 peratus seperti ditetapkan.

Sementara itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengutarakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai usaha konkrit memerangi serta menghapuskan budaya “orang tengah” dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan sekaligus dapat mengawal kos sara hidup yang semakin meningkat.

BACA JUGA Dewan Rakyat bertukar kecoh, Shahidan dakwa Tebrau sokong Israel

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )