
Keselamatan rakyat Kelantan bakal terancam jika kerajaan negeri tidak tarik balik
Keselamatan rakyat Kelantan bakal terancam akibat risiko banjir dan tanah runtuh yang semakin meningkat jika kerajaan negeri tidak menarik semula keputusan melaksanakan cadangan perubahan kepada pelan pembangunan berkaitan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) berpendapat, sektor ekonomi di negeri Pantai Timur itu juga akan terjejas dengan kemusnahan harta benda selain peningkatan kos berkaitan pengurusan banjir dan rawatan air jika Kelantan meneruskan keputusan yang tidak masuk akal itu.
Pengerusi KUASA, Hafizudin Nasarudin berkata, kerajaan negeri Kelantan harus berfikir lebih waras untuk memulihara dan memelihara hutan memandangkan negeri itu membentuk jajaran kompleks hutan Banjaran Titiwangsa dengan diliputi sebahagian besar kawasan Central Forest Spine (CFS).
Menurutnya, CFS menyokong berpuluh ribu spesis flora dan fauna serta mempunyai Taman Negara di bahagian selatan.
“… ini bukan sahaja sesuai dengan tuntutan polisi dan dasar negara, tetapi selari dengan kewajipan agama di mana seorang Muslim wajib menjadi khalifah yang memakmurkan muka bumi.
“Jika status ini (KSAS) dimansuhkan, kita bimbang kerana 90 peratus kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Kelantan berpotensi dimusnahkan untuk pembangunan tidak mampan terutamanya pembalakan secara tebang habis, pembukaan ladang pertanian besar-besaran, lombong, kuari, dan sebagainya.
“Ia bercanggah dengan dasar di peringkat persekutuan dan prinsip pengurusan hutan secara berkekalan dan komitmen negara terhadap Dasar Kepelbagaian Biologi untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus liputan hutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) merupakan kawasan khas yang sangat sensitif kepada sebarang aktiviti atau pembangunan dan perlu dipulihara dengan meminimumkan risiko bencana akibat penukaran guna tanah.
Walau bagaimanapun, Kelantan mencadangkan untuk melaksanakan perubahan kepada pelan pembangunan yang membabitkan pengubahsuaian KSAS.
Susulan itu, Kerajaan Pusat membantah keputusan Kelantan untuk melaksanakan cadangan perubahan kepada pelan pembangunan berkaitan pengubahsuaian KSAS di negeri terbabit.

Kawasan litupan hutan di Kelantan semakin dinyah status perlindungan sekaligus terdedah kepada risiko bencana alam ekstrem.
Mengulas lanjut, Hafizudin mengingatkan bahawa kemusnahan hutan secara besar-besaran di Kelantan mempunyai kesan yang ketara merentasi pelbagai sektor kehidupan manusia dan alam sekitar.
Jelasnya, penebangan hutan berskala besar akan mengancam keselamatan air kerana hutan memainkan peranan penting dalam mengawal selia dan menapis air hujan sebelum disalirkan ke sungai serta loji rawatan air.
Kemusnahan itu, ujarnya, boleh mengakibatkan penurunan kualiti air dan peningkatan kemarau serta kekurangan air.
“Ia juga memburukkan lagi keadaan banjir kerana hutan bertindak sebagai penampan semula jadi terhadap hujan lebat.
“Ketiadaan hutan boleh membawa kepada banjir lumpur yang lebih teruk dan kerap,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa masyarakat Orang Asli menghadapi kesan paling teruk kerana akan kehilangan sumber hidup termasuk air bersih, sumber makanan hutan, gangguan hidupan liar dan hilang mata pencarian tradisional.
Selain itu, populasi hidupan liar sangat terancam dengan kemusnahan habitat serta peningkatan konflik manusia-hidupan liar.
Sehubungan itu, Hafizudin menyeru orang ramai khususnya rakyat Kelantan supaya bersama-sama menyuarakan bantahan mengikut saluran yang disediakan.
Menurutnya, rakyat Kelantan boleh mengisi borang bantahan di setiap pejabat majlis daerah dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kelantan (PLANMalaysia Kelantan).
“Bantahan dan representasi juga boleh dibuat melalui haps://jpbd.kelantan.gov.my,” tambahnya.
KITA TENGOK KERAJAAN KELANTAN YG ADA SEKARANG TERDIRI DPD MEREKA YG RETI TTG KESELAMATAN NEGERI DAN RAKYAT ATAU MEREKA2 YG OTAK JENIS BAGHAL SAHAJA.