
Kesihatan mental, jangan dipandang enteng
Isu kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak dengan menganggap ianya sebagai masalah terpencil memandangkan perkara ini benar-benar berlaku kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
“Khabar duka di negeri ku serambi Mekah. Seorang anak muda lelaki berusia 20-an cuba membunuh diri dengan terjun ke jambatan Sultan Yahya Petra jam 11 pagi Jumaat lepas (15/9/2023).
“Alhamdulillah dengan tindakan pantas pihak bomba, maka pemuda ini berjaya diselamatkan. Hilanglah kedukaan keluarganya.
“Terima Kasih kepada orang ramai yang segera menghubungi talian kecemasan bomba dan penyelamat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya, semalam.
Dalam hantaran sama, Dr Hafidzah yang juga Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan turut menyingkap kembali satu lagi kes cubaan membunuh diri.
Katanya, pada 10 September lalu, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an berjaya diselamatkan selepas terjun daripada jambatan Sultan Ismail Petra di Tendong.
“Beliau terjatuh di bahagian tanah di bawah jambatan dan dikatakan menghadapi kemurungan. Walaupun beliau dikatakan pernah menagih dadah, namun mengikut laporan ujian, adalah negatif.
“Pada 13 April 2023 pula, masyarakat Bachok digemparkan dengan kejadian seorang ibu berusia 30-an yang sedang berpantang 36 hari, membunuh diri di rumahnya dengan menusuk pisau di leher.
“Cabaran gangguan dan penyakit kesihatan mental adalah serius dan benar-benar berlaku termasuk di Kelantan. Jangan izinkan mana-mana pihak memandang ringan mahupun memperlecehkan isu ini dengan menganggap ianya terpencil,” ujar beliau lagi.
Hampir 40 peratus orang Kelantan ada masalah kesihatan mental
Menurut Dr Hafidzah, statistik Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan pada 2017 melaporkan bahawa Kelantan mempunyai 39.1 peratus rakyat yang mengalami masalah kesihatan mental.
“Ia adalah ketiga tertinggi selepas Sabah dan Labuan (42.9 peratus) dan Wilayah Persekutuan (39.8 peratus).
“Kesihatan mental juga amat terkait dengan risiko tingkah laku bunuh diri. Ketika pandemik Covid-19, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan ketara kes kematian akibat bunuh diri iaitu sebanyak 81 peratus kenaikan pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding tahun 2020 (631 kes),” katanya lagi.
Berkaitan isu sama, Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) itu turut memuji bahawa isu kesihatan mental dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan kepada Kerajaan Perpaduan Madani.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan melebihi RM400 juta dalam Bajet 2023 untuk kesihatan mental.
Pindaan undang-undang juga telah dibuat oleh kerajaan untuk tidak menjenayahkan percubaan membunuh diri.