Ketaksuban anak muda terhadap Pas boleh dipatahkan melalui Malaysia Madani

Sikap ketaksuban anak muda di Pantai Timur kepada pemimpin politik kumpulan tertentu, terutamanya Pas boleh dipatahkan dengan konsep Malaysia Madani yang dirangka sebagai ikhtiar, kata Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hasbie Muda.

Menurutnya, semua agensi kerajaan perlu memahami dan melaksanakan tindakan susulan bagi menterjemah keberkesanan konsep Malaysia Madani dalam dasar kerajaan khususnya buat golongan muda.

“Sekiranya program yang dirangka dekat dengan anak muda, ia dapat difahami dengan baik maka program tersebut boleh mencairkan ketaksuban atau pemikiran anak muda yang didoktrin oleh Pas.

“Ia bergantung kepada dasar dan program yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan sebagai penentu untuk generasi muda khususnya di negeri ini untuk berubah,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Wacana Membangun Negara Madani dan Amanat Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari 2023. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan wawasan beliau ‘Membangun Malaysia Madani’ yang bertunjangkan empat teras strategik utama iaitu membina semula ekonomi, menjamin kesejahteraan insan, reformasi institusi demokrasi dan perundangan serta mewujudkan pentadbiran beramanah.

Malaysia Madani adalah sebuah kerangka visi baru buat negara, suatu ikhtiar nirmala yang bersepadu dan holistik, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum.

Hasbie berkata dengan keupayaan pimpinan politik dan penjawat awam di dalam Kerajaan Perpaduan, beliau menaruh keyakinan yang tinggi bahawa Malaysia berupaya diangkat semula di persada dunia sebagai negara kukuh dan kuat.

“Ini semua bergantung kepada dasar-dasar yang digubal di bawah Malaysia Madani yang kini masih dalam bentuk gagasan.

“Kena tengok pada pelaksanaan kepada gagasan yang sekarang ini masih pada peringkat kerangka dasar untuk dilaksanakan oleh kerajaan. Ia adalah penting untuk negara melatih dan mendedahkan generasi muda dengan sesuatu yang positif,” ujarnya.

BACA JUGA: Penyokong tuntut PM Anwar ajar kesombongan pemimpin Pas Terengganu