Tiada adab punca Anwar tak jumpa Sanusi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh persoalan adab untuk menerangkan mengapa beliau tidak bertemu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berbanding dengan Menteri Besar negeri lain yang ditadbir oleh Perikatan Nasional.

Beliau berkata, sepanjang enam bulan di Putrajaya, sudah empat kali pertemuan dilakukan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan MB Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, pertemuan itu berjaya kerana ia ditanya dengan sopan dan tahu cara beradab

“Kalau soal pertemuan, saya bertemu dengan MB Kelantan dah empat kali. Dengan MB Terengganu empat kali.

“MB Perlis (pun sama) dengan kebanyakan (pertemuan), diluluskan sekali peruntukan yang diminta.

“Itu kerana ditanya dengan sopan dan tahu cara beradab, antara hubungan negeri dan Persekutuan,” katanya dalam sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi (PN-Alor Star) yang bertanya mengapa sehingga kini masih belum ada pertemuan dengan MB Kedah.

Sementara itu mengulas dakwaan Afnan bahawa ada ahli Umno pada 2017 menyebut bakal mengambil semula Pulau Pinang, Anwar menyatakan bahawa Perikatan Nasional dipersilakan untuk membuat laporan polis.

Namun katanya, ia tidak memberi kelonggaran kepada mana-mana individu yang cuba menjadikan alasan tersebut untuk bertindak lebih lantang mempersoal perlembagaan Persekutuan.

“Kalau Alor Star kata ada kenyataan-kenyataan ahli parti dari Bagan Datuk (Datuk Seri Zahid Hamidi) berunsurkan hasutan, boleh buat laporan polis.

“Saya tak menghalang apa-apa siasatan dan tindakan kepada sesiapa pun. Jangan guna alasan kononnya ahli Umno suarakan, maka sekarang kami boleh lebih lantang lagi.

“Ahli Umno itu pun kita ambil tindakan, ahli Pas pun tak terlepas dari tindakan kalau melanggar prinsip Perlembagaan, termasuk PKR,” ujarnya.

Terdahulu Anwar menjawab soalan mengenai tindakan kerajaan ekoran dakwaan Sanusi yang mahu meminda perlembagaan agar Pulau Pinang dipadamkan.