Ketokohan diiktiraf, Anwar terima ijazah doktor kehormat Universiti Filipina
Ketokohan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila hari ini beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat (Honoris Causa) Doctor of Law dari Universiti Filipina, Manila.
Majlis penganugerahan diadakan di Dewan Villamor di universiti tersebut bagi menghormati jasa dan sumbangan beliau dalam membawa agenda reformasi di rantau ASEAN.
“Saya amat berharap ASEAN terus berpadu dan kukuh dalam menyikapi isu-isu mendesak terutamanya di rantau ini kerana berdiam diri tatkala berdepan kezaliman bukanlah pilihan,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Sempena penganugerahan itu, Anwar turut menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN’.
Perdana Menteri turut mengungkap sejarah penubuhan ASEAN dan mengolah aspek kemajuan perlu melibatkan kesepakatan serantau bagi mengekalkan identiti dan leluhur.
“Dalam ucaptama, saya singgung asal usul penubuhan ASEAN serta kemajuan dan perubahan dari segi kerjasama antara negara tetangga di rantau ini dan menekankan bahawa perserikatan ini mesti terus terpahat atas hujah berkongsi identiti yang sama meski rencam bangsa dan budaya.
“Konsep ini dicerakinkan dengan baik oleh ‘The Great Malayan’ Dr. José Rizal dalam ‘The Philippines a Century Hence’ tatkala negara Filipina tertubuh kuat meski berlainan kepulauan, bahasa, budaya dan etnik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi pengalamannya di republik berkenaan yang mempunyai seribu satu kenangan bermakna buatnya.
“Saya turut menghimbau kenangan tatkala sering ke Manila di tahun lampau semasa masih seorang mahasiswa dan universiti ini (University of the Philippines) adalah tempat yang akan pasti dikunjungi untuk perbincangan terkait pelbagai hal bersama sahabat-sahabat di sini.
“Justeru, Manila sangat istimewa dan bukanlah kota asing buat saya secara peribadi,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri memulakan acara pada hari kedua lawatan rasminya dengan menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Rizal Park.
Upacara itu dibuat sebagai penghormatan kepada tokoh ‘Melayu’, Jose Rizal atas semangat perjuangan yang menyemarak obor Revolusi Filipina melawan penjajahan Sepanyol sekitar kurun ke-19.
Sebelum ini, Anwar turut dianugerahkan ijazah doktor kehormat (Honoris Causa) dari Universiti Negeri Padang (UNP), Indonesia atas sumbangannya dalam bidang politik pendidikan.
BACA JUGA: KL-Manila sepakat tingkat pelaburan, bincang keamanan wilayah Mindanao – PM