Ketua PAS Perak, Razman Zakaria mohon maaf kepada Anwar
Kes saman fitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Yang Dipertua Pas Perak, Razman Zakaria selesai apabila Razman secara rasmi memohon maaf di Mahkamah Tinggi Taiping hari ini.
Permohonan maaf itu adalah sebahagian daripada penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar terhadapnya.
Hal itu disahkan oleh peguam Anwar, SN Nair yang berkata anak guam beliau bersetuju dengan penyelesaian tersebut sebagai tanda muhibah.
“Apabila seorang individu menyesal (atas perbuatannya) dan memohon maaf dengan suci hati, seorang pemimpin yang baik budinya akan menerima permohonan maaf itu dan menarik balik saman,” kata Nair dipetik FMT.
Sebelum ini, Razman pada November tahun lalu bertegas beliau tidak akan meminta maaf kepada Datuk Seri Anwar di atas kenyataan yang dibuatnya di sebuah pasar malam dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 15 lalu, bahawa sekiranya Anwar memerintah atau menjadi PM maka gejala LGBT akan menular di Malaysia.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping pada 5 Disember lalu, Anwar menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi untuk menghalang Razman daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah terhadapnya.
Menurut pernyataan tuntutan, tuduhan Ketua Pas Perak itu membayangkan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, juga seorang penipu, pengkhianat, munafik dan bukan orang Islam yang baik.
BACA JUGA Klip video MB Kedah bincang dengan Yusoff Rawther tersebar
Â